SUNGAI BULOH: Kementerian Kesihatan menempatkan dua petugas kesihatan di setiap pusat mengundi seluruh negara bagi memudahkan urusan mengundi individu yang disahkan positif Covid-19.
Menterinya, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, bagi pusat mengundi yang jumlah pengundinya kecil, hanya seorang petugas kesihatan ditempatkan.
“Setiap pusat mengundi sekurang-kurangnya ada dua orang petugas dan yang kecil pula seorang petugas,” jawabnya ringkas ketika ditanya pemberita selepas hadir meninjau suasana pengundian di Sekolah Kebangsaaan (SK) Seksyen 7, Kota Damansara, di sini hari ini.
Khairy pada sidang akhbar sebelum ini berkata, semua pengundi Covid-19 perlu memaklumkan kepada petugas kesihatan yang ditempatkan di pusat mengundi terlebih dahulu sebelum diiringi ke bilik mengundi.
Sementara itu Khairy turut memaklumkan, sehingga pukul 12.30 tengah hari, seramai 10 individu positif Covid-19 telah hadir mengundi di SK Seksyen 7, Kota Damansara.
Katanya, pegawai kesihatan yang ditugaskan memaklumkan bahawa semua pengundi positif Covid-19 mengisytiharkan diri mereka sebelum diiring petugas kesihatan ke bilik mengundi.
“Semuanya berjalan lancar, mereka yang positif memperkenal diri dan menunjukkan MySejahtera sebelum dibawa masuk mengundi dan selepas itu mereka terus balik,” katanya. – UTUSAN