NIBONG TEBAL: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Nibong Tebal, Datuk Seri RS Thanenthiran, 59, menyifatkan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kawasan itu kelak akan turut mengangkat pemimpin Melayu sendiri.
Sehubungan itu kata Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) berkenaan, tidak timbul isu beliau tidak layak dicalonkan di kawasan itu memandangan majoriti penduduk di situ merupakan orang Melayu.
“Pada mulanya saya pun berasa was-was kerana pada kebiasaannya orang melayu yang menjadi calon di Parlimen Nibong Tebal. Namun, pada kali ini pucuk pimpinan tertinggi BN telah membuat keputusan dengan memilih saya.
“Saya berterima kasih atas kepercayaan itu dan kemenangan di Nibong Tebal akan menyumbangkan satu undi untuk mengangkat orang Melayu tulen sebagai Perdana Menteri kelak,” katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa pesakit kronik sekitar Sungai Acheh, di sini hari ini.
Katanya, isu kaum melibatkan seseorang calon PRU15 tidak seharusnya dijadikan modal berkempen kerana semua parti mempunyai ahli terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama.
“Sekarang, dalam Pas pun ada penyokong kaum India, mereka juga dipilih seagai calon. Dalam PH pun ramai pemimpin yang diberikan kerusi di kawasan yang bukan majoriti kaumnya.
“Fokus kita hanyalah untuk memakmurkan dan memajukan Nibong Tebal secara keseluruhannya. Itu yang saya akan lakukan,” katanya.
Mengikut rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terdapat seramai 100,130 pengundi di kawasan Nibong Tebal dengan komposisi Melayu (46,516); Cina (34,796); India (17,737) dan lain-lain etnik (538).
Thanenthiran akan bersaing merebut kerusi Parlimen Nibong Tebal pada PRU15 dalam persaingan empat penjuru dengan tiga lagi calon iaitu bekas penyandang daripada Perikatan Nasional (PN) Datuk Mansor Othman (Bersatu); Fadhlina Sidek (PKR) daripada Pakatan Harapan (PH) dan Goh Kheng Huat (Bebas).
Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Mansor yang ketika itu bertanding atas tiket (PH-PKR) dengan undi sebanyak 35,395 menewaskan Datuk Shaik Hussein Mydin (BN) yang mendapat 19,578 undi manakala Mohd. Helmi Harun (Pas) dan Tan Tee Beng (Bebas) masing-masing mendapat 6,875 dan 331 undi. – UTUSAN