GOMBAK: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari gembira melihat semangat rakyat Malaysia khususnya penduduk kawasan itu yang sanggup keluar awal pagi untuk mengundi.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor itu juga menyarankan lebih ramai pengundi keluar awal bagi ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu, hari ini.
“Alhamdulillah, cuaca di negara khususnya Selangor dan ibu negara ketika ini agak kurang baik namun orang ramai tetap bersungguh beratur untuk mengundi.
“Saya lihat ramai yang beratur sejak awal pagi lagi seperti di Selayang dan Gombak walaupun keadaan cuaca yang tidak baik (hujan dan mendung).
“Meskipun keadaan cuaca sebegini, saya mengharapkan mereka keluar mengundi dan kadar undi di Selangor meningkat. Segera tunaikan tanggungjawab anda,” katanya.
Pengerusi PH Selangor itu berkata demikian ketika ditemui media di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Selayang Baru di sini hari ini.
Amirudin berdepan guru politiknya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), calon Barisan Nasional (BN), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, calon Gerakan Tanah Air (GTA), Jamaludin Mohd Tahir serta seorang calon bebas, Zulkifli Ahmad. – UTUSAN