KLUANG: Hari pengundian hari ini diharapkan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku, khususnya melibatkan keselamatan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut berterima kasih kepada semua yang bertanggungjawab memastikan perjalanan kempen selama 14 hari berlangsung dengan baik tanpa sebarang insiden yang boleh menggugat keamanan.
Beliau juga menyatakan penghargaan kepada pihak media yang bertugas dengan penuh tanggungjawab sepanjang tempoh kempen di samping kerjasama semua pihak dalam melancarkan proses demokrasi di negara ini.
“Rakyat menentukannya hari ini dan apa juga keputusannya nanti kita sama-sama pastikan usaha untuk memastikan negara ke arah lebih membangun dengan maju, makmur, bersatu dan stabil,” katanya.
Hishammuddin dan isterinya, Datin Seri Tengku Marsila Abdullah mengundi di Sekolah Rendah Agama Taman Sri Lambak, dekat sini pukul 10.55 pagi. – UTUSAN