Kedah lantik Exco baharu ganti Suraya

Kedah lantik Exco baharu ganti Suraya

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah menyampaikan surat pelantikan sebagai Exco kepada Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria mengangkat sumpah selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu menggantikan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.  

Mohamad Yusoff yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kedah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit kira-kira pukul 11 pagi ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Mohamad Yusoff akan memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Pengairan dan Saliran serta Tenaga.

“Saya sebelum ini hanya mencalonkan satu nama saja iaitu Mohamad Yusof kepada Sultan Sallehuddin dan baginda kemudiannya memberikan perkenan terhadap pelantikan beliau.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kami mengalu-alukan pelantikan ini dengan harapan semua pihak akan memberikan kerjasama baik kepada beliau untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

“Portfolio diamanahkan kepadanya itu merupakan antara yang utama dan penting buat negeri ini. Mohamad Yusoff memiliki pengalaman dalam kerja-kerja sivil dan kami percaya beliau mampu mengendalikan projek-projek penting sedang berjalan seperti naik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) serta tebatan banjir,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Ini kali pertama Mohamad Yusoff diangkat menjadi Exco kerajaan negeri walaupun beliau sebelum ini pernah menjadi ADUN Kuala Nerang pada 1999.

Portfolio tersebut sebelum ini dikosongkan Suraya yang melepaskan jawatan berkenaan pada 13 Oktober lalu sebagai persediaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Mohamad Yusoff ketika ditemui mengucapkan syukur di atas pelantikan tersebut serta menjunjung kasih terhadap Sultan Kedah berikutan perkenan diberikan baginda untuk beliau memegang jawatan tersebut.

“Saya juga berterima kasih kepada Menteri Besar atas kepercayaan diberi. Bagi saya, jawatan ini bukanlah satu penghormatan sebaliknya amanah serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.

“Diakui, masyarakat agak riuh mengenai isu air apatah lagi penyelesaiannya mengambil masa kerana lima LRA itu akan siap dibina antara 2023 hingga 2024. Harap rakyat bersabar dan kita akan usahakan sebaik mungkin bagi menyelesaikan isu berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya