Ke mana sahaja saya pergi, ramai berikrar undi saya - Zuraida 

Ke mana sahaja saya pergi, ramai berikrar undi saya – Zuraida 

ZURAIDA Kamaruddin yakin dengan rekod prestasinya di Parlimen Ampang dan mampu pertahan kerusi itu pada PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ke mana sahaja penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin pergi, ramai secara terbuka berikrar akan mengundi beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula esok. 

Presiden Pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu berkata, ramai pengundi telah keluar berjumpa dan menyatakan penghargaan ke atas khidmatnya di kawasan itu sejak 2008. 

Justeru, beliau gembira maklum balas daripada rakyat menunjukkan beliau akan menang dan mempertahankan kerusi itu. 

“Keyakinan berhati-hati saya ini adalah berdasarkan laporan diterima dari kawasan-kawasan yang saya berkempen sejak 5 November lalu. 

“Mereka mengiktiraf sumbangan saya di kawasan ini seperti mengurangkan kesusahan dialami penduduk miskin bandar, menangani masalah lalu lintas dan menyelesaikan masalah banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Zuraida berkata, beliau memperuntukkan RM247,000 untuk program kesihatan komunal seperti menyediakan 4,500 tong sampah, RM1.65 juta untuk mengecat semula Pangsapuri Taman Cahaya dan Taman Ukay Indah serta RM1.2 juta untuk menaik taraf pelbagai kemudahan sukan di Ampang. 

Selain itu, beliau telah bersama penduduk melibatkan diri secara aktif dalam memastikan pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Ukay Sungai Sering di Bukit Antarabangsa yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2025. 

“Ramai yang berkata akan mengundi saya kerana menghargai kerja saya sebagai Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. 

“Pengundi wanita juga menyokong usaha saya untuk meningkatkan pemerkasaan wanita, termasuk sebagai Presiden Majlis Pemimpin Politik Wanita Malaysia (COMWEL),” katanya. 

Bagaimanapun, katanya, parti lawan mungkin menggunakan taktik kotor untuk menafikan kemenangannya di Ampang, kerana sejak kebelakangan ini, terdapat taktik tidak sihat menyelinap masuk ke kawasan itu termasuk merosakkan bahan kempen dan serangan di alam siber. 

“Saya mahu bersedia jika ada pihak lawan cuba mempertingkat taktik sedemikian. Apapun, bagi kempen keseluruhan, maklum balas dari lapangan menunjukkan ramai pengundi menerima PBM dan sudah bosan dengan politik lama. 

“Saya mengeru pengundi yang belum membuat keputusan di kawasan di mana PBM meletakkan calonnya untuk menyokong parti itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya