KOTA TINGGI: Kebanyakan cawangan UMNO di Bahagian Kota Tinggi mahu penyandang kerusi, Datuk Halimah Mohamed Sadique dikekalkan sebagai calon di Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua UMNO Cawangan Tanjung Sedili, Hashim Mohamad berkata, berdasarkan pengalaman berkhidmat untuk rakyat Kota Tinggi, Halimah adalah seorang Ahli Parlimen yang disenangi dan sering bekerja keras membantu menyelesaikan masalah masyarakat.
Menurut beliau, mereka yakin Halimah adalah calon yang mempunyai nilai-nilai ‘winnable, acceptable dan likeable’ yang dihasratkan oleh pucuk pimpinan parti.
“Kita berhasrat daripada awal hingga hari ini agar kekalkan Datuk Halimah sebagai calon Parlimen Kota Tinggi. Kita sedia maklum Datuk sentiasa dekat di hati rakyat dan pengundi di kawasan ini.
“Kita sudah bekerja dengan Datuk Halimah sejak menjadi pembangkang sampai hari ini, berilah sepenggal lagi kepada beliau agar pembangunan yang dibawa dapat diteruskan di sini.
“Kami duduk di luar bandar, kami perlukan kemudahan-kemudahan yang dibawa Datuk Halimah di sini. Bahkan semangat kerjasama kami bersama Datuk sebagai wakil rakyat diserlahkan lagi sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu hingga DUN Sedili kembali semula kepada UMNO dan BN,” katanya dalam sidang akhbar di Kampung Gembut, Tanjung Sedili di sini.
Hashim memberitahu, kesemua 40 ketua cawangan UMNO turut bertindak mengumpulkan tandatangan dan menghantar surat bagi menggesa Halimah dikekalkan kepada pucuk pimpinan UMNO Pusat dan negeri.
“Kita yakin Datuk Halimah boleh sumbang kemenangan bukan untuk kami tetapi untuk kerajaan.
“Surat juga telah dihantar kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi UMNO dan BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.
“Kita berharap pimpinan atasan agar mengambil maklum suara akar umbi cawangan-cawangan yang tahu menilai pemimpin mereka,” katanya. – UTUSAN