SEGAMAT: Syarikat penerbangan diminta menurunkan harga tiket bagi membolehkan lebih ramai rakyat pulang menunaikan tanggungjawab mengundi di negeri masing-masing.
Farah Begum Ahamad, 36, yang merupakan anak jati Segamat dan kini menetap di Sabah berkata, terkilan tidak dapat pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.
“Saya berpindah ke Sabah atas sebab mengikut suami yang melanjutkan pengajian. Sebagai suri rumah, saya juga tidak mahu ketinggalan mengundi bagi memilih wakil rakyat di kawasan saya.
“Saya ada menghubungi SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) baru-baru ini untuk memohon undi pos, tetapi malangnya saya tidak layak untuk undi pos kecuali penjawat awam dan media yang bertugas pada hari mengundi.
“Kesian juga pada nasib para penuntut Semenanjung yang berada di Borneo ini. Mereka juga mahu pulang ke kampung halaman masing-masing untuk mengundi, tetapi tidak mampu atas faktor tiket penerbangan yang mahal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Farah Begum, selain pelajar, tidak ketinggalan ribuan lagi yang bekerja di Sabah dan Sarawak tidak mampu pulang ke Semenanjung untuk menunaikan kewajipan mengundi.
“Sudah tiba masanya SPR menggubal akta khas bagi rakyat yang berhijrah seperti saya mendapatkan hak undi pos.
“Selain itu, kerajaan boleh mengambil inisiatif berbincang dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi mengenakan caj minimum tiket penerbangan khas bagi membolehkan rakyat di luar Semenanjung untuk pulang mengundi dan begitu juga pengundi Sabah dan Sarawak yang berada di Semananjung,” katanya.
Sementara itu, Azman Shahril, 38, sebagai seorang penuntut sepenuh masa tajaan kerajaan berharap undi pos wajar diberikan kepada para penuntut di Sabah dan Sarawak dan begitu juga sebaliknya.
“Saya berasal dari Jempol, Negeri Sembilan dan merantau ke sini (Sabah) atas sebab melanjutkan pengajian. Kalau tiket penerbangan balik ke Semenanjung murah, saya memang balik mengundi.
“Saya mengundi untuk memilih wakil rakyat bagi kawasan kampung saya. Kawasan yang saya tahu apa perlu dibangunkan dan manfaatnya berbalik pada penduduk sekitar. Jika saya tukar alamat mengundi di Sabah, saya tidak kenal siapa calon dan bagaimana dia buat kerja (santuni rakyat),” katanya.
SPR menetapkan hari mengundi PRU15 pada 19 November ini dan undi pos hanya dibenarkan bagi penjawat awam dan media yang bertugas pada hari pengundian. – UTUSAN