PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa pihaknya telah menghantar surat akuan bersumpah (SD) ahli Parlimen yang menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10, semalam.
Kata Presiden Pas itu, PN mempunyai angka mencukupi bagi membentuk kerajaan Pusat.
Bagaimanapun, beliau tidak menyebut nama ahli-ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Kami dah cukup. Kami dah hantar. Tunggu untuk diundang (Istana Negara) ,” katanya dalam Facebook beliau, semalam.
Terdahulu, beliau dan beberapa kepemimpinan PN mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin di Bukit Damansara dipercayai bagi membincangkan perkembangan semasa politik membabitkan pembentukan kerajaan baharu..
Sementara itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan pihaknya sudah mengemukakan SD daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.
Katanya, jumlah SD yang dihantar melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
“PN telah mengemukakan SD daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Muhyiddin, Ahli Parlimen Pagoh untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Jumlah surat akuan yang dihantar adalah melebihi 112 iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan dakwaan PN memperoleh lebih 112 SD sebagai pramatang, mustahil dan tidak konklusif.
Beliau berkata, perkara itu berdasarkan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa SD yang lain atau sebarang rundingan dengan parti lain adalah tidak sah.
Beliau berkata, ini kerana Presiden UMNO itu juga menegaskan tindakan tersebut boleh menyebabkan mereka hilang kerusi seperti yang dipersetujui dalam SD ditandatangani sebelum ini.
“Oleh yang demikian, PH berpendirian bahawa kenyataan Setiausaha Agung PN itu adalah oramatang, mustahil dan tidak konklusif berkait angka sokongan majoriti yang didakwa telah mereka capai,” katanya. – UTUSAN