JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan peningkatan kepada 449 orang daripada 104 keluarga melibatkan lima daerah setakat pukul 12 tengah hari tadi
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding 319 orang daripada 73 keluarga pada pukul 8 pagi tadi.
Daerah yang terkesan akibat banjir ini ialah Tangkak, Segamat, Kluang, Pontian dan Kulai.
Menurut kenyataan itu, Tangkak merupakan daerah terbaharu dilanda banjir selepas dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 5 Darat pada 12.30 tengah malam tadi dan Sekolah Agama (SA) Simpang 5 Darat pada 11 pagi tadi.
“Seramai 193 mangsa daripada 44 keluarga dari Kampung Simpang 5 Darat, Kampung Parit Bunga Raya, Kampung Parit Bunga Raya Hujung dan Kampung Parit Pulai ditempatkan di dua PPS tersebut.
“Sementara itu di Kulai, seramai 148 mangsa daripada 31 keluarga dari Kampung Baru Sengkang dan Kampung Murni Jaya dipindahkan ke Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang dan Dewan Raya Kampung Murni Jaya,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Mangsa banjir di daerah lain melibatkan seramai 17 orang daripada empat keluarga dari Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas, Pontian yang dipindahkan ke PPS di SK Melayu Raya.
Di Kluang pula mangsa banjir masih sama berjumlah 34 orang daripada tujuh keluarga dari Kampung Ithnin Maarof yang ditempatkan di dewan utama kampung berkenaan.
“Sementara itu di Segamat, mangsa banjir melibatkan 39 orang daripada 12 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak.
“Seramai 14 orang lagi melibatkan lima keluarga juga dari Kampung Seberang Batu Badak ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Tasek,” katanya.
Selain itu, seramai empat orang daripada sebuah keluarga dari Kampung Kuala Paya ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Kuala Paya. – UTUSAN