Jumlah kematian kemalangan jalan raya meningkat 52 peratus tahun ini - Utusan Malaysia

Jumlah kematian kemalangan jalan raya meningkat 52 peratus tahun ini

SHAHRUL AZHAR Md. Dali dan Faisal Shahbudin memakaikan topi keledar kepada penunggang dan pembonceng motosikal dalam program CSR JKSB dengan kerjasama JPJ di Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang tahun ini mengatasi rekod ketika pendemik Covid-19 dengan statistik menunjukkan peningkatan 52 peratus berbanding tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Shahrul Azhar Md. Dali berkata, statistik tersebut berdasarkan kajian oleh Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dari Januari hingga September lalu.

“Data terkini juga menunjukkan, jumlah pengguna jalan raya cedera parah turut naik mendadak dengan 3,406 kes atau 92.5 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya kepada pemberita pada Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) di sini, hari ini.

Katanya, pengguna motosikal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 2,916 atau 66.6 peratus; kereta (776); pejalan kaki (233); lori (139); van (95); kenderaan pacuan empat roda (94); basikal (79); kenderaan lain (29) dan bas (17).

Ujar beliau, 45 peratus kematian melibatkan penunggang motosikal itu pula membabitkan mangsa dalam lingkungan usia dari 16 tahun hingga 29 tahun.

“Kematian membabitkan pengguna motosikal tahun lalu mencecah paras tertinggi sepanjang masa yang direkodkan dalam tempoh 21 tahun lalu dengan 68.6 peratus daripada keseluruhan pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif JKSB Faisal Shahbudin berkata, program sumbangan topi keledar kepada JPJ Pulau Pinang itu bertujuan membantu pihak berkuasa berkenaan menambah jumlah topi keledar dewasa dan kanak-kanak bagi kempen advokasi yang dijalankan dari semasa ke semasa dan ketika musim perayaan.

“JKSB menyumbangkan 150 unit topi keledar dewasa dan kanak-kanak JPJ Pulau Pinang untuk kegunaan 30 buah keluarga B40 terpilih menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di sini.

“Topi keledar yang disumbangkan itu dapat membantu penunggang motosikal yang memerlukan topi keledar baharu dan lebih selamat selain turut mempunyai ciri-ciri keselamatan yang disahkan SIRIM di samping mempunyai pelekat pantulan cahaya atau ‘reflector,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya