KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tiba di tempat mengundi pada pukul 8.55 pagi.
Beliau dilihat memakai baju kemeja berwarna kelabu hadir bersama isterinya, Datin Seri Zurwati Haslinda Zainal Bahry ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Maluri dalam keadaan hujan renyai.
Ketibaan beliau disambut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang tiba lebih awal di tempat mengundi kira-kira pukul 8.20 pagi.
Johari yang mengundi di saluran tiga dilihat sempat melayan pengundi yang ingin mengambil gambar bersamanya.
Setakat pagi ini, ramai pengundi yang keluar mengundi di saluran satu, dua dan tiga, namun bagi saluran lapan dan sembilan, iaitu bagi pengundi muda, dilihat masih tidak ramai yang hadir.
Johari pernah memenangi kerusi ini pada PRU13, namun tewas kepada Datuk Seri Rina Harun pada PRU14 selepas meraih majoriti 4,139 undi.
Kali ini, beliau kembali bertanding dalam saingan empat penjuru dan bertembung dengan calon Pakatan Harapan (PH), Khalid Abdul Samad; Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) serta Dr. Rosni Adam yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Parlimen Titiwangsa mempunyai 80,747 orang pengundi berdaftar dengan tiga zon melibatkan Kampung Pandan, Datuk Keramat dan Kampung Baru.
Daripada peratusan tersebut, 72.5 peratus bersamaan 58,509 pengundi Melayu, 16.4 peratus bersamaan 13,250 pengundi Cina, sementara 9.5 peratus atau 7,687 adalah pengundi India, dan lain-lain, 1.6 peratus bersamaan 1,301 pengundi.
Mengikut pecahan zon, daripada 80,747 pengundi itu, 47.3 peratus atau 38,247 akan mengundi di zon Kampung Pandan, turut mengundi di zon Datuk Keramat, 27.4 peratus bersamaan 20,414 pengundi, sementara zon Kampung Baru 25.3 peratus bersamaan 22,086 pengundi.
Daripada jumlah itu juga, 21.1 peratus pengundi di sini antara 31 hingga 40 tahun, diikuti 21 hingga 30 tahun melibatkan 19 peratus dan 17 peratus antara 41 hingga 60 tahun. – UTUSAN