KUALA LUMPUR: Parlimen Titiwangsa sah milik calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan majoriti 4,632 selepas meraih undi 25,042.
Dengan kemenangan itu juga, ia sekali gus menyaksikan kekalahan calon Pakatan Harapan, Khalid Abdul Samad yang hanya meraih 20,410 undi, sementara calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Rosni Adam memperoleh undi sebanyak 14,518 undi dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mewakili parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) meraih 888 undi.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Titiwangsa, Firdzaus Said di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki.
Johari yang sebelum itu telah meraikan kemenangan bersama penyokongnya berkata, kemenangan itu amat bermakna berikutan hasil kerjasama semua pihak sejak lebih empat tahun lalu.
“Pertama sekali saya nak sebut, bahawa kemenangan ini adalah untuk rakyat Titiwangsa. Kemenangan ini agak mustahil kalau tidak kerana tuan puan semua.
“Sebenarnya ini hasil kerja tuan tuan bersama saya selama empat tahun enam bulan,” katanya ketika berucap di Pusat Operasi BN Titiwangsa, Taman Maluri di sini malam ini.
Johari pernah memenangi kerusi ini pada PRU13, namun tewas kepada Datuk Seri Rina Harun pada PRU14 selepas meraih majoriti 4,139 undi dan memperoleh 23,840 undi. – UTUSAN