PRU15: Jentera BN Permatang Pauh jamin kempen berhemah - Utusan Malaysia

PRU15: Jentera BN Permatang Pauh jamin kempen berhemah

MOHD. ZAIDI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Jentera kempen Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Permatang Pauh memberi jaminan akan terus bergerak secara berhemah dan tertib sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di sebalik kontroversi berlakunya kekecohan di kawasan itu.

Malah calonnya, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said memberi jaminan sekiranya terdapat mana-mana jentera parti itu terbukti mencetuskan provokasi, beliau sendiri akan membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil.

“Saya bagi jaminan, setiap ahli jentera dan petugas BN Permatang Pauh akan melaksanakan kempen dengan tertib kerana kita bawa budaya politik matang sekali gus mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Apa yang saya mahu, semua kempen dan ceramah berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni biarpun ada provokasi yang cuba merencatkan momentum kempen jentera BN,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang mengecam kempen provokasi yang didakwa dicetuskan kumpulan BN di pasar malam Penanti, di sini petang semalam.

Insiden itu terjadi kira-kira pukul 6.45 petang kelmarin selepas penganjur tapak pasar malam bertindak menghentikan ceramah yang dilakukan Mohd. Zaidi di laluan masuk pasar malam terbabit.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, setakat ini beliau belum dipanggil pihak polis untuk merekodkan sebarang keterangan berhubung insiden tersebut.

“Saya tidak pasti jika ada laporan polis dibuat berhubung insiden semalam, tetapi sekiranya dipanggil, saya akan beri kerjasama sepenuhnya.

“Saya tahu peraturan kempen dan sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Zaidi turut melancarkan manifesto yang menawarkan sembilan agenda antaranya penyelesaian isu banjir, pembinaan sekolah baharu dan pembinaan stadium mini atau kompleks aktiviti belia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya