KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan khusus bagi menyelesaikan permasalahan di pasar Chow Kit yang kini berdepan beberapa isu, sekali gus ia perlu diselesaikan dengan segera.
Menurut calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, hal itu tidak boleh dibiarkan terlalu lama kerana ramai peniaga di kawasan tersebut terjejas sehingga terpaksa menutup perniagaan.
“Sudah 10 tahun, kita tidak boleh tunggu lagi. Saya nak selepas 19 November, saya nak solid committee diletakkan dalam satu jawatankuasa khas termasuk peniaga Melayu, Cina dan India yang strong credible, kita buat satu jawatankuasa, saya mahu menjadi penasihat kepada jawatankuasa ini untuk mendesak kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), siapkan kawasan ini secepat mungkin.
“Kita bawa semua pemegang taruh, setiap seksyen yang terjejas mesti datang, kita nak bentangkan fakta, berapa ramai terjejas, berapa kedai sudah tutup. Jadi selagi anda meniaga di sini kita mesti kerjasama untuk memastikan DBKL tidak membuat kesilapan ambil kontraktor yang salah untuk menyiapkan projek ini,” katanya selepas walkabout di pasar Chow Kit hari ini.
Malah jelas Johari, beliau tidak mahu isu kontraktor dijadikan alasan untuk pembangunan di pasar Chow Kit tidak dibangunkan kerana perkara itu di bawah tanggungjawab DBKL untuk memilih kontraktor yang tepat.
“Kita tidak mahu kegagalan kontraktor menjadi alasan kepada pasar Chow Kit ini tidak dibangunkan, sebab saya difahamkan sudah lima kontraktor. Saya difahamkan sudah ada Menteri Wilayah 22 bulan, apa dia buat?
“Kalau pertama kali, DBKL dan Kementerian Wilayah buat kesilapan, tidak mengapa. Tapi kalau you salah kali kedua, ketiga dan keempat, kelima, salah itu hampir buang masa kita semua,” jelasnya.
Johari dalam masa sama berkata, jika harga yang diletakkan pada kontraktor selepas ini lebih mahal berbanding sebelum ini, namun boleh menyelesaikan masalah yang berlaku, ia perlu diterima, dengan syarat peniaga pasar Chow Kit tidak lagi terjejas pendapatannya.
“Saya ada rekod. Pergi Kampung Baru, ada satu tempat dipanggil pasar minggu. Sekarang pergi tengok, saya selesaikan tempat itu, lima tahun, apa sudah jadi sekarang? First class. Sekarang tempat ini tak boleh cerita harga murah baru nak buat. Kita nak cari kontraktor yang boleh bagi siap, kalau tinggi sikit pun tak apa. Kita bayar tinggi sikit tapi peniaga tidak mati.
“Bila peniaga mati, berapa banyak wang rugi daripada kos yang dia nak meniaga, sebab itu nak memilih pemimpin, PRU15 ini, kena nilai betul-betul. Mereka sudah tipu, saya cakap terus terang, saya tidak marah pada pengundi yang tidak undi saya, kalau saya jadi tuan-tuan, saya pun syok. Dia cakap dia boleh buat minyak turun, hapus tol, harga barang murah. Sekarang apa murah? Telur pun tak boleh jumpa,” jelasnya. – UTUSAN