KUALA TERENGGANU: Sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai ahli pakar akan dibentuk bagi memantau pelaksanaan inisiatif dan program yang terkandung dalam manifesto ditawarkan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penubuhan jawatankuasa itu membuktikan komitmen tinggi pelaksanaan manifesto itu yang juga disebut Tawaran PN BEST bertemakan ‘Prihatin, Bersih, Stabil’ dengan hala tuju Malaysia gemilang.
Menurutnya, PN yakin kesemua tawaran itu dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan dengan sokongan semua penjawat awam, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak swasta dan rakyat seluruhnya.
“Rakyat kini memerlukan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil bagi menjamin kemakmuran yang berterusan dan pada masa yang sama membina Malaysia yang inklusif dan gemilang,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook rasminya, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tawaran manifesto PN Best di Shah Alam, Selangor malam tadi.
Terdapat 234 tawaran berteraskan 12 tunjang melalui 30 pendekatan diketengahkan PN bagi meraih sokongan pengundi pada PRU15 kali ini.
Antaranya, pengurangan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta pengagihan bayaran tunai hasil petroleum secara terus kepada semua kerajaan negeri berkaitan.
Selain itu, PN juga menyatakan matlamat menjadikan Malaysia sebagai paksi ekonomi Asia Tenggara, berteraskan industri masa hadapan dengan menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan bernilai RM5 bilion.
Abdul Hadi yang juga Presiden Pas menambah, PN juga ingin membina sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam menuju keredhaan Allah SWT.
“Insya-Allah, dengan sedikit pengalaman sebagai kerajaan ketika negara berhadapan dengan krisis politik, kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, semua tawaran itu dapat dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN