PADANG TERAP: “Jadikan al-Quran sebagai pegangan hidup, jangan tinggalkan”.
Demikian pesanan ulama terkenal Kedah, Allahyarham Abdul Hamid Ismail atau Pak Su Mid, 96, yang menghembuskan nafas terakhirnya semalam akibat sakit tua.
Anak kedua Allahyarham, Pirdaus Abdul Hamid, 41, berkata, kata-kata nasihat itu juga sering diberikan arwah ketika menerima kunjungan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin negara di kediamannya di Kampung Kuala Pai, Kuala Nerang.
“Ramai tetamu yang ziarah ayah selalu diberi nasihat yang paling banyak berkaitan amalan dalam al-Quran. Tetamu akan bawa al-Quran dan ayah akan bagi amalannya. Untuk kami pun arwah bagi nasihat sama, kalau siapa datang dia akan pesan al-Quran jangan tinggal,” katanya ketika ditemui semalam.
Bercerita lanjut, kata Pirdaus, Allahyarham sangat mementingkan bacaan dan amalan daripada al-Quran sepanjang hayatnya termasuk ketika saat-saat akhir nafasnya sewaktu sakit.
“Arwah waktu sakit pun tak tinggal al-Quran walaupun dia tak boleh baca, rakaman bacaan ayat-ayat suci al-Quran itu arwah akan selalu minta kita pasang kerana arwah dengar. Bagi arwah, al- Quran itu sebati dengannya,” katanya.
Menurut Pirdaus, Allahyarham bapanya sebelum ini sering mendapatkan rawatan di hospital, namun kesihatannya semakin merosot sejak tiga minggu lalu.
“Arwah memang sudah bagi isyarat tidak mahu ke hospital sejak tiga minggu lalu tapi kami ahli keluarga ikhtiar juga untuk menghantar ke hospital namun sudah tiba masanya, kami terima,” ujarnya.
Terdahulu, Allahyarham Abdul Hamid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ayer Hitam, Jerlun dekat sini kira-kira pukul 11.30 pagi ini.
Arwah meninggalkan seorang balu, Inche Ollah Arshat berusia 60-an, tiga anak bersama 10 cucu. Beliau dilahirkan pada 1926 di Jerlun dan terkenal dengan kata-kata hikmahnya yang disampaikan secara mendalam dan penuh kiasan.
Antara amalan Allahyarham tidak pernah meninggalkan puasa sunat sejak 30 tahun lepas dan sering berwuduk, manakala kitab yang menjadi rujukan Pak Su Mid adalah Hilyatul Auliyak, Futuhat Makkiyah Ibn Arabi dan Khozinatul Asror.
Dalam pada itu, ramai pemimpin utama negara mengutuskan doa dan salam takziah kepada keluarga termasuk kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga rakan Abdul Hamid ke Masjid Ayer Hitam.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, negara kehilangan seorang ulama yang sentiasa menjadi rujukan orang ramai untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar agama. – UTUSAN