TAPAH: Masyarakat India diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan hasutan bencikan pemimpin tertentu sehingga membawa penolakan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, mereka diminta agar tidak mengulangi kesilapan lalu dengan memilih pemimpin salah yang akhirnya merugikan diri sendiri.
“Saya tengok di media sosial ada yang (buat kempen) tukar. Jangan gunakan ayat tukar kerana kita bencikan orang tertentu.
“Penukaran perlu berlaku hanya apabila kita mendapat sesuatu yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Latihan Di bawah Tajaan Geran Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di Tapah Road di sini hari ini.
Saravanan yang juga calon Parlimen Tapah berkata, BN adalah sebuah parti yang memperjuangkan nasib semua kaum tanpa meminggirkan mana-mana pihak.
Katanya, sebagai sebuah parti dengan rekod perjuangan panjang, BN memiliki pengalaman memerintah dengan mengambil kira kedudukan populasi rakyat terbesar terdiri daripada kaum Melayu, India dan Cina.
“Semua kaum ada kekurangan, bukan semua Melayu hidup senang di negara ni, bukan semua Cina hidup senang. Setiap kaum ada yang kaya, ada yang miskin.
“Kalau Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) jadi Perdana Menteri dan boleh umum kaum India boleh dapat itu, boleh dapat ini, itu kita pun setuju.
“Tetapi sehingga hari ini, tidak ada dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk kaum India. Mungkin keadaan tambah buruk, nasi pun akan jadi bubur. Kita sudah ada pengalaman 22 bulan (ketika PH memerintah),” katanya. – UTUSAN