GEORGE TOWN: Gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan mengelak daripada terlalu bermain politik sehingga mencetuskan ketidakstabilan dalam pentadbiran negara.
Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, kerajaan perpaduan perlu terus stabil bagi memastikan fokus Perdana Menteri untuk membangunkan semula ekonomi negara dapat dicapai dalam masa terdekat.
“Harapan saya kepada mereka yang memegang amanah agar tidak berlaku ‘politiking’ jika mereka mahukan rakyat mendapat faedah yang lebih baik daripada kerajaan perpaduan ini.
“Sekiranya ada masalah sesama sendiri, pemimpin perlu menegur secara berhemah mengikut saluran yang betul, kita mesti bergerak ke depan dan jangan terlalu bermain politik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Khamis lalu, Pengerusi PH, Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut Mohd. Yussof, rakyat juga mengharapkan Anwar dapat memulihkan keyakinan pelabur asing dan menarik pelabur kembali ke negara ini.
“Ketidakstabilan politik sebelum ini menyebabkan pelabur tidak yakin untuk melabur di negara ini, tapi sekarang politik negara telah kembali stabil.
“Saya yakin dengan pengalaman sebelum ini sebagai Menteri Kewangan, Anwar dapat menggunakan kepakaran yang ada untuk membangunkan semula ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Yussof yang juga Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) berkata, beliau mengalu-alukan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri selepas pelbagai cabaran dilalui anak jati Permatang Pauh berkenaan.
Ujar beliau, Anwar ialah anak kelahiran kedua dari Pulau Pinang yang dilantik sebagai Perdana Menteri sekali gus amat mengalu-alukan pelantikan beliau ke jawatan tertinggi negara tersebut.
“Kita mengharapkan Anwar menjenguk nasib Melayu Pulau Pinang seperti yang pernah beliau lakukan sebelum ini ketika menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Ketika zaman itu, Anwar banyak membantu dari segi pemilikan tanah kepada yayasan melayu di negeri ini dan saya berharap beliau dapat melakukan perkara serupa selepas dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN