Jangan perjudikan moral untuk perhatian - Utusan Malaysia

Jangan perjudikan moral untuk perhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU moral selebriti adalah antara topik yang tidak pernah berhenti diperbahaskan. Ditambah realiti kehidupan semasa yang cenderung kepada hal tular, membuatkan ramai sanggup memperjudikan nilai moral hanya untuk mendapatkan secebis perhatian. 

Demi viral, ada yang tidak lagi mempedulikan adat dan budaya Timur. Justeru, tidak hairan apabila terdapat segelintir selebriti sanggup mencipta pelbagai gimik murahan untuk memancing perhatian peminat. 

Gimik itu lumrah dalam industri hiburan dan secara praktiknya, ia mampu menaikkan jenama atau produk yang ingin dipromosikan. 

Tetapi, apabila satu demi satu gimik murahan dijadikan umpan, apakah memperjudikan nama baik dan reputasi itu berbaloi? 

Kebelakangan ini, pendekatan seperti itu semakin membarah apabila segelintir artis sanggup memanipulasi emosi peminat. 

Ada yang bersikap baling batu sembunyi tangan dan membisu apabila dikecam. Tidak kurang ada yang memberikan pelbagai alasan remeh sebagai justifaksi terhadap tindakan mereka. 

Naratif seperti ini memalitkan pelbagai persepsi negatif masyarakat terhadap penggiat seni. 

Hakikatnya, hanya segelintir bersikap seperti itu kerana masih ramai memilih jalan bersih dan mempertaruhkan kekuatan bakat untuk mengangkat martabat industri hiburan. 

Begitu juga pendekatan segelintir syarikat produksi yang menyogok kaedah pemasaran murahan hingga menyebabkan peminat keliru antara realiti dan drama. 

Rentetan ‘drama dalam drama’ ini membuatkan peminat rasa tertipu. Untuk jangka masa panjang, apakah pendekatan itu akan terus diterima ramai? Sampai bila mahu menyogok orang ramai dengan kandungan merepek dan tidak mendatangkan faedah? 

Dalam hal ini, selebriti seharusnya bijak dan meletakkan batasan dalam mempraktikkan gimik untuk menaikkan nama. 

Mereka seharusnya sedar, sebagai individu yang dilihat masyarakat, selebriti bertanggungjawab atas setiap tindak-tanduk mereka. 

Bergerak di atas paksi dunia tanpa sempadan, mereka perlu berfikir panjang kerana ia mungkin menjadi ikutan peminat yang masih belum matang dan dalam proses mencari jati diri. 

Untuk menangani isu ini, segelintir anak seni dan peminat mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap selebriti yang sengaja mencetus provokasi dalam masyarakat. 

Sekurang-kurangnya tindakan ini memberi pengajaran supaya formula itu tidak diulang pakai selebriti lain. 

Mungkin ketegasan itu tidak disenangi, namun ia sedikit sebanyak dapat membendung anasir negatif daripada terus beraja dan membiak hingga tidak dapat dikawal. 

Belajarlah bersandar atas kekuatan bakat dan bukan lagi bergantung kepada isu sensasi yang tidak menjanjikan keselesaan berkekalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya