KOTA TINGGI: Rakyat diingatkan supaya tidak mengundi kerana dendam ataupun benci yang akhirnya mendatangkan kesusahan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berharap, rakyat akan memilih calon wakil rakyat yang mampu menjaga rakyat dan bukan yang mendatangkan masalah kepada rakyat.
“Saya harap rakyat akan membuat pilihan bijak, ambil kira kita akan bersama calon yang dipilih untuk tempoh lima tahun. Calon berkenaan juga mestilah calon yang perlu jaga kita, bukan kita jaga dia dan bukan calon yang akan memberi masalah kepada kita.
“Jadi, undilah dengan bijak untuk masa depan kita sebab itu tanggungjawab kita. Jangan undi kerana dendam, kerana benci sebab kalau dendam benci kita akan wujudkan kesusahan kalau kita salah pilih bukan sahaja kepada diri, keluarga bahkan kawasan kita.
“Saya lihat pada 2018 perkara itu sudah berlaku, hari ini masa perbetulkan apa berlaku pada 2018 supaya kita dapat barisan kepimpinan kerajaan yang memberi keutamaan kepada kita terutama di kawasan Pengerang yang wujudkan perjuangan untuk agama, bangsa, tanah air,” katanya.
Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pengerang ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Penawar hari ini.
Penyandang kerusi Parlimen Pengerang selama empat penggal itu mendapati ramai pengundi di kawasan itu memilih untuk keluar mengundi awal pada waktu pagi ekoran bimbang dengan keadaan cuaca hujan. – UTUSAN