Jalan sesak tidak halang anak rantau balik mengundi

Jalan sesak tidak halang anak rantau balik mengundi

Aliran trafik lancar pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perjalanan beratus kilometer meskipun terpaksa melalui kesesakan trafik tidak mematahkan semangat anak rantau pulang mengundi pada hari pengundian esok.

Rata-rata mereka mengakui teruja dan bersemangat serta tidak sabar untuk memilih wakil rakyat yang diyakini dapat memperjuangkan nasib mereka kelak.

Seorang guru, Mohd. Junaidi Mohd. Nor, 34, berkata, dia tidak kisah menempuh kesesakan asalkan tanggungjawabnya sebagai pengundi dapat dilaksanakan.

Katanya, dia dan isteri serta tiga anak bertolak dari Kuala Lumpur pukul 4 pagi tadi dan keadaan trafik agak perlahan ekoran kemalangan di Tanjung Malim.

“Saya memang jangka jalan akan sesak tapi tidak mengapa, ini perkara biasa tambahan lagi kerajaan sudah berikan cuti dan tol percuma.

“Balik mengundi adalah tanggungjawab semua rakyat. Jika kerajaan tidak berikan tol percuma pun, saya tetap akan balik ke kampung di Gerik untuk mengundi,” katanya ketika ditemui di Hentian Rehat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, Gopeng di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Muhammad Izzat Ramli, 26, berkata, dia tidak mahu melepaskan pengalaman pertama sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, dia yang bakal mengundi bagi Parlimen Taiping dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Aulong itu menunggang motosikal untuk pulang ke kampung.

“Saya bergerak dari Klang pada pukul 5 pagi tadi dan balik seorang diri kerana isteri mengundi di sana. Keadaan cuaca baik setakat ini cuma jalan agak sesak sedikit. Saya teruja kali ini sebab ini pengalaman pertama saya mengundi pada pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang guru, Priya Sridharan, 39, berkata, dia juga tidak mahu melepaskan peluang balik mengundi pada PRU15 ini memandangkan sebelum ini berdepan kekangan kerana berkhidmat di Sarawak.

“Saya baru sahaja ditukarkan (mengajar) di Semenanjung dua bulan lalu dan saya sangat seronok kerana ada peluang balik mengundi.  Tempuh kesesakan sedikit tak mengapa asalkan kita semua balik mengundi,” katanya yang mengundi di Parlimen Batu Kawan. – UTUSAN

 

caption

 

ALIRAN trafik tinggi berhampiran susur keluar tol Gopeng lebuh raya PLUS arah utara hari ini susulan orang ramai yang mahu pulang ke kampung halaman bagi mengundi pada PRU15 esok. –  UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya