SEPANG: Polis terpaksa menutup sebahagian laluan di persimpangan lampu isyarat Kiwa dari Cyberjaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana ditenggelami air.
Susulan itu, laluan dari Kota Warisan ke KLIA dan KLIA ke Bandar Baru Salak Tinggi berdepan kesesakan lalu lintas lebih dua kilometer sejak pukul 8 pagi tadi.
Persimpangan lampu isyarat itu menghubungkan Bandar Baru Salak Tinggi, KLIA, Nilai dan Dengkil kerap dinaiki air jika hujan lebat selain berada di kawasan rendah.
Tinjauan mendapati, beberapa anggota polis turut berada di lokasi bagi mengawal kesesakan lalu lintas.
Malah, polis turut mengarahkan semua pengguna kenderaan dari Dengkil ke KLIA supaya berpatah balik susulan air mencecah lebih satu kaki di laluan itu.
Pengguna dari Dengkil yang mahu ke Sepang dan KLIA boleh menggunakan susur keluar ke lebuhr aya menerusi Plaza Tol Bandar Serenia atau menggunakan jalan alternatif di Kota Warisan.
Setakat pukul 9.30 pagi tadi, laluan berkenaan belum boleh digunakan dan masih ditenggelami air.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sepang memaklumkan, lebih 50 buah rumah di Kampung Seri Tanjung, Dengkil di sini, ditenggelami air dipercayai akibat ban pecah.
Menurutnya, ban pecah disebabkan hujan lebat bermula malam tadi yang menyebabkan paras air Sungai Semarang melimpah.
“Setakat pukul 8 pagi tadi, bacaan paras air dari Sungai Langat dari Stesen Dengkil berada pada paras bahaya,” katanya.
Katanya, JPS Sepang akan bertindak mengukuhkan struktur ban yang pecah bagi penyelesaian jangka pendek,” katanya. – UTUSAN