TEMPOH hari, Cik Bunga berkesempatan menyaksikan konsert sulung penyanyi Indonesia, Raisa, yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur. Agak teruja juga sebab Raisa memang diakui sebagai penghibur yang mengagumkan.
Dalam rancak melayan persembahan lagu pada konsert tersebut, tiba-tiba Raisa buat kejutan dalam satu segmen. Penyanyi itu memanggil peminat secara rambang untuk naik ke pentas dan mencabar sama ada berani atau tidak menghubungi bekas kekasih sebelum dia menyanyikan lagu Mantan Terindah.
Nak dijadikan cerita, individu yang dipanggil naik ke pentas itu ialah penyanyi, Farisha Iris. Ketika usik-mengusik di atas pentas, Raisa secara tidak sengaja tersebut nama Niezam yang terpapar di WhatsApp Farisha.
Ketika itu, memang Farisha sedang buka aplikasi tersebut dan menunjukkannya kepada Raisa. Jadi, bukan salah Raisa apabila dia menyebut nama itu.
Bila jadi begitu, ramai mula berbisik-bisik, ohh… jadi memang benarlah dia dan Niezam Zaidi pernah bercinta? Iyalah, sebelum ini, pernah terdengar desas-desus mengenai Farisha didakwa menjalin hubungan dengan pelakon tersebut.
Namun, sering kali apabila diajukan pertanyaan itu, dia akan menafikan. Tup-tup, atas pentas besar seperti itu ‘rahsia’ Farisha bagaikan terbongkar. Cik Bunga terkejut juga.
Sebelum ini, asyik nafi bercinta, tetapi pada malam konsert itu, Farisha mengaku sudah putus pula. Tidak tahulah mana satu yang betul. Memang tidak ada isu pun kalau betul dia dan Niezam bercinta atau putus. Cuma, ada kala pelik juga, kenapa dari awal tidak mengaku? Ada-ada sahajalah artis kita ini…