SHAH ALAM: Menepati ramalan, penyanyi Jaclyn Victor dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), sekali gus menghampakan lima pesaing lain pada acara kemuncak di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam tadi.
Kemenangan itu melayakkan Jaclyn yang mesra disapa Jac membawa pulang wang tunai RM100,000, pakej percutian ke Paris, tajaan penginapan di Royal Chulan Cherating dan trofi.
Pada acara kemuncak itu, Jac membawakan medley lagu It’s All Coming Back To Me Now nyanyian asal Celine Dion dan This Is Me dipopularkan Keala Settle.
Bagi tugasan rap, Jac berentap dengan VE menerusi lagu The Real Slim Shady (Eminem) dan Sang Saka Biru (Joe Flizzow, Altimet, Sonaone dan Alyph).
Sementara itu, Bob Yusof pula diumumkan sebagai naib juara, sekali gus meraih hadiah wang tunai RM50,000, manakala Shila Amzah berpuas hati di tempat ketiga dengan menerima RM30,000.
Tempat keempat menjadi milik Tomok yang menerima RM20,000, manakala VE mengakhiri perjuangan mereka pada kedudukan kelima dengan membawa pulang RM15,000.
Meskipun memberikan persaingan sengit, penyanyi dari Singapura, Hazrul Nizam akur pada kedudukan keenam dengan menerima RM10,000.
Konsert akhir yang mengangkat tema Kemanisan di Akhir Garisan menuntut peserta menyempurnakan dua tugasan iaitu lagu medley dan rap untuk segmen battle.
Jac meraih kemenangan berganda apabila membawa pulang RM5,000 sebagai penerima Anugerah Next Level Digi.
Penyanyi bersuara lantang itu turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Bintang Memukau Abadi, seterusnya menerima wang tunai RM2,000 dan barangan Adabi bernilai RM500.
Anugerah Bintang Cuckoo Paling Gempak pula menjadi milik Bob Yusof.
GV9 yang mula bersiaran sejak 18 September lalu menampilkan Nabil Ahmad dan Elly Mazlein sebagai pengacara.
Pertandingan akhir diadili Datuk Ramli MS sebagai ketua juri, selain Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat serta juri jemputan, Edry Abdul Halim.