Isu Tian Chua dibincang selepas PRU15 - Rafizi

Isu Tian Chua dibincang selepas PRU15 – Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: PKR akan membincangkan isu penyertaan bekas Naib Presidennya, Tian Chua sebagai calon Bebas di Parlimen Batu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata, ketika ini fokus utama adalah terhadap aktiviti berkempen sekali gus tidak mahu soal dalaman parti dijadikan bahan percakapan rakyat.

Katanya, pendirian itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Pimpinan Pusat PKR pada Ogos lalu yang menggantung buat sementara sebarang prosiding Lembaga Tatatertib demi memberi laluan kepada PRU15.

Saya tidak mahu beri reaksi sangat, sebab perkara itu ada prosesnya dan kita serahkan kepada parti.

“Saya tidak mahu soal dalaman parti menyebabkan kita emosional hanya kerana ada yang bertanding atas tiket Bebas hingga mengalihkan pandangan rakyat terhadap fokus sebenar seperti harga barang dan isu rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PKR Parlimen Pandan di Taman Seraya, di sini hari ini.

Terdahulu, Tian Chua  yang merupakan bekas Ahli Parlimen Batu hadir di pusat penamaan calon di SMK Sentul Utama pada pukul 8.30 pagi sambil diiringi oleh penyokong-penyokongnya yang berpakaian putih.

Kehadirannya menjawab persoalan bahawa beliau akan bertembung dengan wakil partinya iaitu penyandang kerusi Parlimen Batu, P. Prabakaran.

Pada PRU14, Tian Chua hilang kelayakan untuk mempertahan Parlimen itu apabila pegawai pengurus pilihan raya membatalkan kertas pencalonannya.

Sementara itu, Rafizi berkata, parti hanya akan membuat tindakan jika terdapat aduan mengenai salah laku dan proses tersebut dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan laporan, siasatan dan maklum balas menerusi surat tunjuk sebab.

Terdahulu, beliau memaklumkan sudah tahu lebih awal mengenai tindakan Tian Chua untuk bertanding sebagai calon Bebas, malah turut dihubungi pemimpin berkenaan mengenai haluan baharunya itu.

Bagaimanapun, katanya, Tian Chua turut berjanji akan terus memberikan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap agenda reformasi.

“Itu hak dia untuk bertanding dan saya mengalu-alukan atas nama demokrasi supaya lebih banyak tawaran dapat diberikan kepada rakyat dalam membuat pilihan pada PRU15.

“Harapan saya agar situasi ini dapat memberi lebih motivasi kepada calon PH, Prabakaran untuk bekerja lebih kuat. Di samping itu saya juga minta jentera PKR dan PH dapat menerima dengan hati terbuka penyertaan Tian Chua dan mengelakkan apa-apa serangan peribadi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya