PETALING JAYA: Isu dalaman Parti Bangsa Malaysia (PBM) menemukan titik noktahnya apabila Datuk Larry Sng dan Datuk Zuraida Kamaruddin bersetuju untuk bermuafakat dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
PBM dalam kenyataan memaklumkan, kepimpinan bersetuju memutuskan senarai nama calon PRU15 mewakili parti itu yang akan diumumkan dalam masa terdekat dan menetapkan Larry menandatangani watikah calon-calon bertanding.
“Pimpinan tertinggi PBM dengan semangat permuafakatan tberjaya memurnikan hal-hal berbangkit dan akan menumpukan usaha bagi mendepani PRU.
“Hal-hal lain berkaitan pentadbiran parti akan dibincang dan diselesaikan selepas PRU15,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isu Larry dan Zuraida tercetus apabila Ahli Parlimen Julau itu mengisytiharkan dirinya masih Presiden parti itu.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha mendakwa Ahli Parlimen Zuraida Kamaruddin menjadi Presiden PBM yang sah selepas diumumkan pada Persidangan Agung Tahunan Parti Bangsa Malaysia pada 7 Oktober lalu.
Larry pula mendakwa beliau tidak pernah meletak atau melepaskan jawatan sebagai Presiden parti itu selain memaklumkan akan bertanding menggunakan lambang parti PBM pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau menegaskan masih Presiden parti yang sah seperti dalam rekod Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang mana beliau dipilih sebagai Presiden pada mesyuarat khas persidangan agung parti itu bagi penggal 2021-2024 di Sibu, Sarawak pada 8 Januari lalu.
Larry kemudiannya turut menggantung 13 Ahli Majlis Tertinggi PBM iaitu Zuraida; Haniza; Dr Daroyah Alwi; Rahimah Majid; Dr Sathiskumar Govindaraju; Muhammad Saiful Bahari Sahari; Na’im Brundage; Abdul Aziz Abdul Kadir; Zakaria Abdul Rahim; Muniraa Abu Bakar; Datuk Chua Lian Chye; Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.
Sebelum itu, beliau mengumumkan penggantungan keahlian Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta. –UTUSAN