Ismail, Shahaniza berentap dalam saingan empat penjuru di Maran - Utusan Malaysia

Ismail, Shahaniza berentap dalam saingan empat penjuru di Maran

ISMAIL Abdul Muttalib (dua dari kiri) dan Shahaniza Shamsuddin (dua dari kanan) bakal bertembung di kerusi Parlimen Maran selepas diumumkan sebagai calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kerusi Parlimen Maran bakal menyaksikan pertembungan utama antara penyandang, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Selain itu, kerusi Parlimen Maran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini turut ditandingi calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Shuhor Awang dan calon Bebas, Muhamad Hafiz Ishak.

Ismail membuat kejutan selepas diumumkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini bahawa beliau akan mempertahan kerusi Parlimen Maran atas tiket PN selepas tidak dicalonkan semula BN.

Ismail menjadi Ahli Parlimen Maran selama empat penggal bermula 2004 dan dalam tsunami politik PRU14, beliau menang kerusi Parlimen Maran dengan majoriti 3,763 undi.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit, pertandingan tiga penjuru bakal berlangsung iaitu calon BN, Jamaluddin Md. Marzuki; calon PN, Mohd Sofian Abd Jalil dan Mohd Afandi Abd. Rani daripada PH.

DUN Kuala Sentul melihatkan persaingan tiga penjuru iaitu Mohd. Khairuddin Mohd. Ali Hanafiah (BN); calon PN, Datuk Jasri Jamaludin dan calon PH, Amran Tahir.

Kerusi DUN Chenor pula menampilkan pertembungan tiga penjuru iaitu calon PH, Nor Hisham Mohd. Sukie; Saiful Anuar Mokhtar daripada BN dan calon PN, Mujibur Rahman.

Semua pengumuman calon terlibat dilakukan oleh Pegawai Pengurus Parlimen Maran yang juga Pegawai Daerah Maran, Datuk Sharuddin Jali.

Terdahulu, suasana penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini sejak pukul 9 pagi sehingga tamat pada pukul 12.30 tengah hari dilihat tenang dan terkawal tanpa sebarang provokasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya