PADANG TERAP: Pembangkang perlu berhenti melaga-lagakan Barisan Nasional (BN) mengenai calon Perdana Menteri memandangkan gabungan itu sudah menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai poster boy.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebulat suara bersetuju agar Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri sekiranya BN menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, keputusan itu kemudian dibawa menjadi sebahagian daripada usul-usul dalam persidangan UMNO bahagian-bahagian di seluruh negara, baru-baru ini.
“Ada 156 bahagian yang bawa usul itu menyatakan sokongan kepada keputusan MT iaitu Datuk Seri Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri selepas PRU15.
“Pembangkang tak perlulah mengadu-domba BN. Pakatan Harapan (PH) terutamanya yang selalu sebut perkara ini jangan bagi keliru kepada pengundi-pengundi,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pekerja Gula Padang Terap Bhd. kali ke-20 di sini.
Justeru, penyandang Parlimen Padang Terap itu meminta isu terbabit tidak lagi menjadi perdebatan ekoran keputusan mengenainya telah dibuat.
“Jelas, Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Presiden bersetuju Datuk Seri Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri selepas PRU15, noktah,” katanya.
Semalam, Ismail Sabri berkata, beliau masih kekal calon Perdana Menteri dan poster boy BN pada PRU15 seperti diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 serta keputusan mesyuarat MKT parti pada April lalu.
Beliau menegaskan, tidak ada keputusan daripada MKT UMNO yang mengatakan sebaliknya iaitu calon Perdana Menteri ditukar seperti digembar-gemburkan pihak tidak bertanggungjawab. – UTUSAN