DOHA: Iran sedia memberi cabaran paling sukar kepada England dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala Dunia di hari ini.
Di bawah kendalian Carlos Queiroz yang merupakan bekas pembantu pengurus Manchester United, Alex Ferguson ketika kelab itu memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah, Iran dijangka mampu mencipta kejutan.
Queiroz yang hanya mengendali dua perlawanan persahabatan menentang Uruguay dan Senegal, dilihat masih tercari-cari kesebelasan utama terbaik.
Bagaimanapun, menerusi aksi persahabatan tersebut, pengendali berusia 69 tahun itu, dilihat menggemari taktikal 4-1-4-1 sebelum posisi bertukar kepada 4-3-3 ketika menyerang.
Menang 1-0 ke atas Uruguay dan seri 1-1 ketika menentang Senegal membuktikan Iran mampu memberi saingan sengit kepada England, Wales dan Amerika Syarikat.
Corak permainan Iran juga dilihat hampir sama dengan Wales.
Iran pernah membuat lima penampilan dalam Piala Dunia tetapi tidak pernah mara ke peringkat kalah mati.
Penyerang Porto, Mehdi Taremi akan memimpin jentera serangan Iran bersama Karim Ansarifard dari Omonia Nicosia.
“Syukur kami bermain menentang England. Kami suka berdepan pasukan yang kuat dan England antara yang terbaik di Eropah.
“Iran pula salah satu pasukan terbaik di Asia, dan itulah sebabnya kami berada di sini.
“Liga Perdana Inggeris semuanya mengenai kemajuan dan kualiti setiap tahun. Sudah tentu kami akan menentang beberapa pemain terbaik di dunia tetapi kami akan bersedia untuk itu,” kata bekas jurulatih Real Madrid itu. – AGENSI