SEREMBAN: Koroner Mahkamah Seremban bersama semua pihak yang terlibat dalam prosiding inkues bagi mencari punca kematian seorang bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri atau ‘Baby Syifaa’ melawat lokasi kejadian di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan, di sini hari ini.
Prosiding hari kedua itu menyaksikan Koroner, Datin Surita Budin tiba di pekarangan pusat asuhan itu pada pukul 2.50 petang dengan diiringi pihak polis dan pegawai mahkamah.
Turut serta Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Nor Azizah Mohamad serta pihak peguam yang mewakili keluarga ‘Baby Syifaa’ iaitu Hafiz Norkhan dan Gaithri Thomas serta peguam pemerhati pihak pengasuh, Noliana Ali Othman.
Ibu bapa bayi tersebut, Yuseri Yusoff, 39 dan Anida Idrus, 41, turut kelihatan hadir bersama penyokongnya serta keluarga.
Lawatan itu yang berakhir pada pukul 3.15 petang bertujuan memperlihatkan jarak lokasi bilik bayi Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditidurkan dalam buaian dengan tandas dan dapur berdasarkan rakaman simulasi yang dipaparkan sebelum itu dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner di sini hari ini yang bermula pukul 10.30 pagi.
Hakim turut melihat sendiri keadaan bilik dalam pusat asuhan itu bagi mendapatkan jawapan berikutan kejadian itu berlaku hanya dalam tempoh 30 minit.
Terdahulu, rakaman video simulasi yang dilakonkan semula oleh pengasuh mengikut kronologi kejadian sebelum ‘Baby Syifaa’ ditidurkan sehingga ditemui tidak sedarkan diri dipertontonkan dalam mahkamah.
Saksi ke-13, Jurugambar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Lans Koperal Nor Fazila Ya’acob, 29, memberitahu mahkamah beliau yang bertugas sejak 2019 berperanan sebagai jurugambar kes dan merakam video simulasi tersebut.
Nor Fazila berkata, beliau telah mendapat arahan daripada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor M.Thinagaran dan telah mengambil 18 keping gambar di pusat asuhan itu dan lapan gambar di Klinik Kesihatan Sendayan sebelum dimuat turun dalam cakera padat untuk simpanan.
Bagaimanapun, ketika ditanya peguam adakah dia mengetahui lokasi bayi itu meninggal dunia, Nor Fazila memberitahu tidak pasti dan hanya diarahkan ke lokasi untuk mengambil gambar kes terbabit.
Sementara itu, saksi ke-14, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat Negeri Sembilan, Rohaizal Umar, 44 berkata, beliau telah menerima permohonan daripada pegawai penyiasat untuk menyemak status pusat asuhan itu.
“Pada hari yang sama, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuat semakan terhadap pusat asuhan itu dan mendapati premis itu tidak pernah memohon untuk pengoperasian dan pendaftaran dengan JKM,” katanya.
Prosiding inkues sepatutnya akan bersambung pada 17 November depan, namun pihak pendakwaan yang diketuai Zahida memohon tarikh tambahan berikutan ada beberapa saksi penting yang masih belum dipanggil.
Mahkamah kemudian menyerahkan kepada pihak pendakwaan dan pembelaan untuk menentukan tarikh yang bersesuaian sebelum 17 November depan.
Sebelum ini, media melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari lalu.
Pada 30 Mac lalu, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian. – UTUSAN