Indeks kebahagiaan terendah, Selangor dipilih lokasi Kasih@SMILE

Indeks kebahagiaan terendah, Selangor dipilih lokasi Kasih@SMILE

RINA Harun menyerahkan sumbangan topi keledar kepada kanak-kanak pada Majlis Perasmian Program KASIH@Smile di Puchong, Selangor.- UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Program Kasih@SMILE sempena Bulan Keluarga Malaysia Tahun 2022 dimulakan di negeri Selangor berikutan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan negeri berkenaan mencatat indeks kebahagiaan paling rendah berbanding negeri-negeri lain.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, Selangor merekodkan indeks kebahagiaan 5.74 peratus iaitu perbezaan sebanyak 0.74 peratus berbanding dengan indeks nasional iaitu 6.48 peratus.

“Usaha untuk mempertahankan keutuhan institusi keluarga serta mengekalkan tahap kesejahteraan merupakan tanggungjawab bersama semua pihak sama ada agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta setiap individu di dalam sesebuah keluarga.

“Justeru saya berharap Bulan Keluarga Malaysia ini turut dirai semua pihak agar institusi keluarga dan masyarakat di negara ini terus sejahtera,” katanya ketika berucap pada program Kasih@SMILE sempena Bulan Keluarga Malaysia Tahun 2022 di Dewan Komuniti Putra Perdana di sini hari ini.

Tambah Rina, lebih 5,000 orang dijangka menerima manfaat daripada program Kasih@SMILE yang berlangsung selama sehari itu dengan pengisian pelbagai aktiviti antaranya ‘talk show’ personaliti dan pakar kekeluargaan, pameran dan perkhidmatan, e-sport, aktiviti sukan indoor serta program kerohanian.

Jelasnya, program tersebut bertujuan memperkenal dan menyampaikan perkhidmatan kementerian kepada rakyat, memberi pendedahan dan pengalaman kepada usahawan kumpulan sasar serta menyemarakkan lagi Bulan Keluarga Malaysia yang disambut setiap November.

“Kementerian melalui Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) menyusun atur pelbagai acara bagi Hari Keluarga Malaysia disambut dan diraikan di peringkat negeri dan daerah sepanjang bulan ini.

“Justeru program hari ini diharap dapat memberikan suasana yang lebih ceria kepada penduduk di Puchong Perdana serta kawasan sekitar selain mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN