PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mampu untuk mengutip hasil lebih RM5 bilion menjelang akhir tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat 9 November lalu, agensi itu sudah mengutip hasil sebanyak RM4.8 bilion iaitu jauh melebihi sasaran RM3.5 bilion ditetapkan tahun ini.
Beliau berkata, kutipan hasil itu diperoleh melalui pelbagai saluran atas talian yang ditawarkan JIM serta amalan pengurangan kos perbelanjaan oleh agensi itu.
“Ia juga sebenarnya adalah hasil tetapi melalui pengurangan kos secara tidak langsung kerana sebelum ini kita bayar kepada syarikat pembekal perkhidmatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, kutipan terbesar adalah menerusi hasil levi pekerja asing dan pelbagai perkhidmatan yang diuruskan agensi berkenaan yang merekodkan kutipan hasil terbesar antara jabatan kerajaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sementara itu, Hamzah berkata, sebanyak 57,167 pekerja asing sudah memanfaatkan program Pas Digital (ePass) sejak ia mula diperkenalkan pada 6 September lalu.
Menurutnya, ePass adalah perluasan inisiatif perkhidmatan dalam talian yang dilancarkan pada 1 Januari 2020 ditawarkan kepada semua pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi semua sektor termasuk pembantu rumah.
“Pengeluaran ePass adalah bagi urusan lanjutan pas sedia ada, manakala pelekat PLKS masih digunakan untuk urusan pas pertama dan urusan lanjutan pas melibatkan pertukaran pasport baharu.
“Proses ketulenan ePass boleh dilaksanakan melalui portal JIM dengan mengimbas Kod QR pada ePass,” katanya.
Katanya, setakat Oktober lalu, JIM berjaya melakukan penjimatan sebanyak RM25.7 juta melalui ePLKS@JIM.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, JIM kini sedang giat melaksanakan proses penjenamaan semula perkhidmatannya bukan hanya dikenali menguruskan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), depot dan pasport, tetapi menjadi sebuah agensi lebih dinamik dan fleksibel yang memberikan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara. – UTUSAN