Imigresen Johor beroperasi penuh PRU15

Imigresen Johor beroperasi penuh PRU15

JABATAN Imigresen beroperasi sepenuhnya bagi memastikan pergerakan di BSI dan KSAB lancar sepanjang tempoh PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen menafikan dakwaan kerja menaik taraf kemudahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bertujuan menyukarkan rakyat yang bekerja di Singapura untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud menegaskan, perancangan kerja-kerja naik taraf berkenaan mula sejak tahun lalu meliputi laluan bas, motosikal dan kereta bertujuan untuk memudahkan pergerakan keluar masuk pengembara.

Menurutnya, Jabatan Imigresen juga akan berfungsi sepenuhnya dengan keanggotaan seramai 1,200 pegawai di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan 670 pegawai di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Kita tidak menjangka berlaku kesesakan luar biasa di dua pintu masuk negara di Johor menjelang PRU15, terutamanya dalam tempoh antara 16 hingga 19 November ini, berbeza berbanding ketika Deepavali kerana pada hari itu warga Singapura turut masuk Malaysia kerana bercuti.

“Tetapi, untuk PRU15 ini, ia hanya melibatkan rakyat Malaysia dan mereka yang bekerja di republik itu yang melakukan perjalanan harian, dengan anggaran seramai 200,000 orang di BSI dan kira-kira 100,000 orang di KSAB, sehari.

“Untuk itu, kita juga melakukan pelbagai penambahbaikan dan kerja naik taraf bagi melancarkan operasi dan memudahkan rakyat Malaysia pulang mengundi dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di BSI, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir.

Di BSI, kerja-kerja naik taraf dibuat melibatkan laluan bas, 20 ‘auto gate’ yang berusia lebih 10 tahun diganti dan akan beroperasi sepenuhnya pada 15 November ini.

“Bagi laluan masuk kereta dari Singapura, tambah baik melibatkan kaunter dibuat dengan menggabungkan dua kaunter bagi pemeriksaan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan serta PLUS yang sebelum ini di dua kaunter berlainan.

“Hasil penggabungan ini, kecekapan perjalanan trafik dapat ditingkatkan dengan penjimatan masa antara 10 hingga 11 saat untuk sebuah kenderaan. Bagi laluan motosikal, 45 kaunter laluan automatik dan lima laluan manual sudah siap diselenggara dan dalam keadaan baik,” jelasnya.

Sementara itu, bagi laluan KSAB di Iskandar Puteri, Khairul Dzaimee pula memberitahu, 24 laluan kenderaan dengan 12 laluan kontra disediakan sekiranya berlaku kesesakan luar biasa dalam tempoh mengundi.

“Dalam pada itu, kita juga menggalakkan pengembara menggunakan perkhidmatan kereta api dari Woodlands ke BSI dengan urusan pasport dibuat di Woodlands. Jadi, mereka tidak perlu berbaris dan boleh terus turun di BSI dan meneruskan perjalanan,” ujarnya.

Khairul Dzaimee juga memberitahu, majoriti pegawainya di BSI dan KSAB akan mengundi secara pos dalam PRU15, manakala yang lain akan mengundi secara bergilir bagi memastikan operasi di kedua-dua laluan darat berkenaan lancar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya