BAGAN SERAI: Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berdepan pertembungan empat penjuru di kerusi Parlimen Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Idris yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menggantikan penyandang sebelum ini, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dicabar calon Barisan Nasional (BN), Zul Helmi Ghazali; calon Pakatan Harapan (PH), Siti Aishah Shaikh Ismail dan calon Pejuang, Ahmad Luqman Ahmad Yahaya.
Penamaan calon bagi Parlimen Bagan Serai diadakan di Kolej Vokasional Kerian di sini hari ini.
Idris menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9 pagi diikuti oleh Ahmad Luqman, Zul Helmi dan Siti Aishah.
Sebelum ini, Idris bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gantang pada PRU13 dan PRU14.
Pada PRU13, Idris yang mewakili Pas menang dengan majoriti 986 undi menewaskan calon BN, Datuk Ismail Safian.
Pada PRU14, Idris gagal mempertahan kerusi Parlimen Bukit Gantang, yang dimenangi calon BN, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal namun beliau kemudian menyertai Bersatu.
Kali ini, Idris dicalonkan di Parlimen Bagan Serai sebagai calon PN, menggantikan penyandangnya, Noor Azmi yang tidak dicalonkan. – UTUSAN