PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mahu mana-mana kerajaan gabungan yang bakal dibentuk kelak supaya tidak lagi bercakap soal idealisme dan agenda parti masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, kerajaan gabungan selepas ini perlu memberi sasaran kepada bidang tumpuan bersama yang menjadi asas kompromi mereka.
Beliau berkata, mereka juga perlu meninggalkan segera retorik yang memecah-belahkan, melebarkan titik kompromi dan menggembeling kelebihan masing-masing kepada sasaran yang sama.
“Ini bukan masanya untuk mengangkat panji kerajaan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN). Ini adalah Kerajaan Gabungan Rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini
Katanya, beliau berpandangan, pengalaman bergaul dan bermuamalah langsung sesama parti sebelum ini meyakinkan bahawa setiap pihak mempunyai cita-cita untuk Malaysia yang lebih baik.
Tuan Kamarul Arief berkata, dalam dunia demokrasi yang matang dan maju, kerajaan gabungan ini terjadi dengan begitu biasa.
Menurutnya, menafikan keperluan kepada sebuah kerajaan gabungan sebenarnya lebih hipokrit kepada demokrasi kerana falsafah demokrasi tidak bersandarkan kepada pihak menang dan kalah, tetapi lebih kepada soal majoriti dan minoriti.
“Sejujurnya, bunga-bunga perbicangan ke arah kerajaan gabungan selepas pilihan raya pernah dibincangkan parti-parti politik di Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi.
“UMNO pernah bercakap hal ini, Pas juga tidak ketinggalan selain parti-parti komponen dalam PH walaupun secara idealistik setiap pihak mahu menang dan membentuk kerajaan secara solo,” katanya.
Adakah kerajaan gabungan boleh berjaya, Tuan Kamarul Arief berkata, kerajaan gabungan Cameron-Clegg yang terbina selepas Parlimen tergantung di United Kingdom (UK) pada tahun 2010 itu berjaya mengimbangkan kembali ekonomi UK selepas krisis ekonomi global 2008-2010.
“Kerajaan ini juga berjaya kekal untuk tempoh lima tahun dan kembali bertarung selepas itu.
“Demikian juga Angela Merkel yang sangat tersohor sebagai pemimpin yang berjaya meletakkan Jerman sebagai negara yang sangat maju dan berpengaruh di Eropah adalah pemimpin sebuah kerajaan gabungan di sana,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Gabungan Jokowi, Koalisi Indonesia Maju (KIM), adalah gabungan 12 parti yang sangat bertentangan ideologi mereka.
“Lebih menarik, Jokowi sendiri bukanlah pemimpin utama partinya, tetapi diberi dokongan mengetuai gabungan dan kini Indonesia menjadi destinasi pelaburan bernilai tinggi dunia dan ke arah menjadi salah sebuah kuasa ekonomi dunia menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN