Ibu tunggal tiada pilihan terpaksa bawa anak OKU bekerja

Ibu tunggal tiada pilihan terpaksa bawa anak OKU bekerja

AZIMAH Abd. Rahim tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi kisah hidupnya dengan wartawan Utusan Malaysia semalam. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suka atau tidak, tiada lagi pilihan yang boleh diambil seorang ibu tunggal apabila terpaksa membawa anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) ke mana-mana sahaja sepanjang berkerja sebagai penghantar makanan.

Menyedari bahaya yang bakal menimpa, bagi ibu tunggal Azimah Abd. Rahim, 37, pengalaman mengambil anaknya Nur Ainul Zahirah Rashidi, 6, di rumah pengasuh dalam keadaan badannya mempunyai banyak kesan lebam sudah pasti membuat hatinya tidak keruan.

Katanya, mahu mencari pengasuh yang sanggup menjaga anak istimewa dan hiperaktif bukannya mudah.

“Nur Ainul bukan sahaja buta, malah dia seorang kanak-kanak yang hiperaktif.

“Pernah saya tinggalkan dekat pengasuh, tetapi bila ambil semula ada kesan lebam (pada badan). Bila ditanya, kata anak saya jatuh.

“Disebabkan itu, saya begitu fobia sehingga mengambil keputusan membawanya bersama bekerja,” katanya ketika ditemui di sebuah restoran Jalan Ampang, di sini semalam.

Turut sama dalam sesi temu bual bersama Utusan Malaysia itu ialah pendakwah bebas, Ebit Lew Abdullah yang turut menghulurkan sumbangan kepada Azimah.

KERATAN laporan Utusan Malaysia semalam.

Terdahulu, gambar memaparkan Azimah mendukung Nur Ainul Zahirah menunggang motosikal ketika bekerja menghantar pesanan makanan yang disiarkan di muka depan akhbar ini semalam, tular dalam media sosial.

Mengulas lebih lanjut, kata Azimah, dia tidak peduli dengan kritikan yang dilemparkan masyarakat seolah-olah dirinya tidak sayang anak.

Katanya, selagi ada kudrat, dia akan membawa bersama anaknya itu walapun pernah dimarah pelanggan kerana lewat menghantar makanan.

“Sebelum menjadi rider, saya pernah bekerja di sebuah dobi, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, saya diberhentikan.

“Disebabkan masalah kewangan, saya mengambil keputusan menjadi penghantar makanan menggunakan motosikal pemberian arwah ibu saya,” jelasnya.


AZIMAH Abd. Rahim menyuapkan makanan ke mulut Nur Ainul Zahirah Rashidi di sebuah restoran di Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang turut disertai Ebit Lew Abdullah.- UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH

Menceritakan perkembangan anaknya, Azimah berkata, setiap pagi Nur Ainul Zahirah dihantar ke Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) untuk menjalani terapi.

Jelasnya, selepas sesi terapi pada pukul 12 tengah hari, dia mengambil anaknya dan meneruskan penghantaran makanan.

“Setiap pagi saya akan hantar dahulu Nur Ainul Zahirah ke MAB dan mula ambil pesanan pukul 10 pagi sebelum mengambil Nur Ainul dan menyambung semula kerja sehingga pukul 6 petang.

“Setiap hari saya akan buat 25 sehingga 30 trip penghantaran. sepanjang tempoh itu, Nur Ainul Zahirah akan ada bersama saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya