SHAH ALAM: Seorang ibu tunggal, Marina Mukhtar, 44, tabah menjaga anak lelakinya, Rafhique Mohd.Sani,11, yang menderita sakit tulang belakang, Tibial Spine.
Menurutnya, Rafhique perlu memakai alat sokongan bagi memastikan tulang belakangnya tidak terus membengkok.
“Anak saya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih sihat. Semasa PKP dia sakit dan doktor kata ada jangkitan dalam darah.
“Setelah pemeriksaan lanjut oleh pakar, rupanya anak saya menghidap sakit tulang belakang dan perlu memakai alat sokongan khas ini,” katanya ketika ditemui semasa Program Ziarah Kasih Calon Ahli Parlimen Shah Alam, Hizatul Isham Jalil hari ini.
Marina berkata, ujian melanda keluarganya apabila ketua keluarga, Mohd.Sani yang bekerja sendiri meninggal dunia pada tahun lalu akibat sakit buah pinggang dan kompilasi darah tinggi.
Katanya lagi, untuk menampung kehidupan, dia hanya mampu membuat rojak dan laksa untuk dijual saudaranya di gerai di pusat beli-belah.
“Pendapatan tidak menentu. Jika dapat RM500, itu saja yang ada untuk menampung keperluan keluarga. Anak-anak berusia 23, 21 dan 18 tahun ada yang sudah berumah tangga dan belajar.
“Mereka pun ada komitmen masing-masing. Setakat ini pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) ada membantu sebanyak RM400 dan bantuan susu khas empat tin sebulan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyumbang menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad, nombor akaun 012234020008817 atas nama Marina Mukhtar. – UTUSAN