KUALA LUMPUR: Ibu penyanyi kesayangan ramai, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Siti Salmah Bachik dijangkiti wabak Covid-19.
Perkara tersebut dimaklumkan Siti menerusi Instastory usai konsert hari pertamanya, malam tadi.
“Balik bilik tengok telefon, dapat berita mak kena Covid-19. Dapat bercakap dengan mak baru lega,” kongsinya.
Siti bagaimanapun, bersyukur dan lega kerana ibunya hanya mengalami gejala ringan seperti sengal badan dan batuk.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Cindai itu memohon peminat mendoakan ibunya cepat sembuh.
“Ya Allah, jagakan wali keramat saya. Doakan Mak Salmah segera sembuh. Mak kuat,” kongsinya lagi.
Pada Konsert Music Of The Soul Siti Nurhaliza, dua adik-beradik penyanyi nombor satu itu, Siti Norsaida dan Siti Norsairah turut hadir memberi sokongan.
Ibunya bagaimanapun tidak kelihatan pada konsert yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu.