LARUT: “Sejak nama dia naik (jadi calon), saya susah nak tidur. Saya takut orang tak suka dia,” luah Zairah Abdullah, ibu kepada calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut, Mohd. Syafiq Fhadly Mahmud.
Zairah, 66, berkata, kebimbangannya itu bermula selepas diberitahu yang anak ketiga daripada empat beradik itu akan mencabar Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga penyandang kerusi Parlimen berkenaan.
“Risau sampai tak boleh tidur, lagipun bukan calang-calang lawannya di sana. Masa tahu dia dicalonkan untuk Kubu Gajah (DUN), saya ok saja, tapi apabila diberitahu dia akan bertanding di Parlimen, saya takut.
“Malam tadi pun tidur tak lena. Saya bimbangkan dia, saya takut orang tak suka dia,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon PRU15 Parlimen Larut di Pejabat Daerah dan Tanah Selama di sini hari ini.
Menurut Zairah, meskipun bimbang dia tetap merestui pilihan anaknya itu dan akan sentiasa menyokong karier politik Mohd. Syafiq Fhadly.
“Harapan sebagai ibu sudah tentu mahu dia menang. Ini pun memang minat dan cita-citanya. Walaupun bimbang, saya tetap akan memberi semangat dan restu,” katanya.
Selain Hamzah yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd. Syafiq Fhadly turut berdepan dua pencabar masing-masing Zolkarnain Abidin daripada Pakatan Harapan (PH) dan Auzaie Fadzlan Shahidi daripada Gerakan Tanah Air (GTA).
Pada PRU14, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri menang di Parlimen Larut atas tiket BN menewaskan calon PKR, Khairil Anuar Akhiruddin dan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti 4,486 undi.
Hamzah memperoleh 18,184 undi manakala Khairil Anuar (7,738) dan Abu Husin (13,698). – UTUSAN