SUNGAI SIPUT: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua calon Barisan Nasional (BN) agar menghentikan polemik politik sebaliknya memfokuskan usaha untuk menang di kawasan masing-masing.
Perdana Menteri berkata, polemik dalaman parti tidak perlu dibincangkan secara terbuka sehingga mengganggu gerak kerja dan tumpuan parti untuk menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Isu sekarang ini adalah untuk hadapi pilihan raya, bukannya isu dalaman parti. Semua calon-calon perlu fokus kepada kawasan masing-masing untuk menang.
“Kurangkan polemik sesama kita. Apa yang penting, kita bergerak ke depan untuk menang, fokus kita bekerja adalah untuk menang. Yang lain-lain, kita letak tepi dulu,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra Bersama Keluarga Felda Lasah di Dewan Semai Bakti di Felda Lasah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, semua ahli UMNO dan BN diminta agar tidak menuding jari kepada mana-mana pihak berikutan kekalahan parti pada PRU14.
Katanya, perkara yang telah berlalu tidak perlu ditangisi sebaliknya usaha perlu diperhebat lagi bagi memastikan BN kembali menjadi kerajaan dan menguasai Putrajaya.
“Kita lupakanlah PRU14, siapa salah atau siapa tidak salah, itu kita tidak perlu bincangkan lagi. Kita perlu bergerak ke hadapan, apa yang penting, bagaimana kita perlu menang dalam PRU15 ini.
“Jangan kita tangisi benda yang lepas, itu tidak akan merubah apa-apa. Yang penting kita belajar daripada kesilapan dan pastikan kita menang dan menjadi parti dominan dan kuasai semula Putrajaya. Itu sahaja sasaran kita, kita mahu menang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merayu kepada pengundi di Parlimen Sungai Siput untuk membantu kemenangan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran pada PRU15 kali ini.
Jelasnya, kemenangan Vigneswaran itu penting sebagai parti komponen terbesar dalam BN yang selama ini kekal pendirian berjuang dalam parti.
“Daripada dulu kita bersama, waktu susah waktu senang MIC bersama kita, MCA juga bersama kita.
“Waktu kita kalah orang lari. Orang dalam UMNO yang menang pun melompat macam katak. Ada parti lain bergabung bersama kita lari, tetapi MIC dan MCA kekal setia bersama UMNO dan BN.
“Jadi inilah masanya kita tunjukkan penghargaan kita terhadap pengorbanan MIC dan MCA ini,” katanya. – UTUSAN