BERA: Keputusan menghentikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini jika berlaku banjir besar terserah kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan SPR jika ada alternatif lain yang boleh dilaksanakan sekiranya berlaku banjir besar sehingga menyebabkan pengundi tidak boleh keluar menunaikan tanggungjawab merekai.
Katanya, perbincangan turut diadakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan mungkin disertai setiausaha kerajaan negeri di negeri-negeri terlibat banjir.
“SPR boleh memberi pandangan dan kalau hendak menghentikan pilihan raya pun terserah kepada SPR,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Kenduri Rakyat Bersama Komuniti Bandar Kemayan di Bilik Gerakan Bandar Kemayan, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan MetMalaysia Khamis lalu bahawa Monsun Timur Laut (MTL) berlaku lebih awal dari jangkaan, ketika negara bersiap sedia menghadapi PRU15.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata, seperti musim-musim lalu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.
Ismail Sabri berkata, sebelum penamaan calon, beliau telah ke Bukit Aman mendengar taklimat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung persediaan menghadapi banjir.
Katanya, dua bulan sebelum Parlimen dibubarkan pun, beliau mempengerusikan mesyuarat pengurusan bencana banjir dengan Menteri Besar seluruh negara.
“Dari segi persediaan banjir, dua bulan sebelum bubar Parlimen kita telah buat persediaan. Banjir ini walaupun melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang merupakan punca kuasa, tapi kuasa sebenar selaras banjir adalah negeri-negeri dan saya difahamkan setiap daerah di negara ini telah dibentuk pusat pengurusan bencana daerah.
“Persedian telah ada dan saya harap kalau berlalu banjir, tidak seteruk seperti sebelum ini. Pusat pemindahan banjir telah dibuka sejak Oktober lagi,” katanya. – UTUSAN