KLANG: Hanya orang muda memahami orang muda, itu persepsi yang dizahirkan pengundi golongan tersebut yang akan mengundi kali pertama.
Seorang pengundi dari Kg.Tok Muda Kapar, Norazimah Mohd.Hizam, 23, berharap lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan untuk orang muda.
“Kita juga berharap ahli Parlimen yang dipilih pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) adalah dalam kalangan orang muda yang prihatin dengan isu seperti banjir sering berlaku di sini.
“Kawasan Parlimen Kapar seperti Meru sering dilanda banjir dan ia menyebabkan kerugian kepada penduduk. Kita perlu pemimpin turun padang segera membantu,” katanya pada Program Himpunan Anak-Anak Muda yang dihadiri calon Ahli Parlimen Kapar Barisan Nasional (BN), Muhammad Noor Azman di Jeti Kampung Nelayan Kampung Tok Muda hari ini.
Sementara itu seorang penduduk di Kampung Tok Muda, Erisha M.Basaharuddin, 20, berkata, dia akan memberi peluang kepada calon muda untuk ke Parlimen kerana hanya orang muda memahami kehendak dan keperluan golongan itu.
“Sebagai pengundi berdaftar kali pertama, saya ingin memulakan undi saya dengan memilih BN yang menampilkan calon muda,” katanya.
Seorang penduduk di sini, Farhan Ashraf Khairuddin, 32, yang sudah dua kali mengundi menzahirkan rasa kecewa dengan wakil rakyat sebelum ini.
Jelasnya lagi, sebagai orang muda, mereka inginkan aktiviti sukan dan rekreasi, namun sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ahli Parlimen Kapar sebelum ini tidak proaktif untuk menganjurkannya.
“Namun Muhammad sejak empat tahun lalu mendekati kami tanpa disuruh untuk membantu menganjurkan program sukan seperti bola sepak dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN