Hamzah tidak terkesan disorak katak, pengkhianat - Utusan Malaysia

Hamzah tidak terkesan disorak katak, pengkhianat

HAMZAH Zainudin (kanan) bersama Mohd. Syafiq Fhadly Mahmud selepas proses penamaan calon PRU15 Parlimen Larut di Pejabat Daerah dan Tapah Selama hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan tidak terkesan dengan sorakan ‘katak’ dan ‘pengkhianat’ yang ditujukan penyokong parti lawan kepadanya.

Penyandang kerusi Parlimen Larut itu berkata, situasi itu adalah perkara yang biasa berlaku dalam pilihan raya.

“Itu perkara biasa dalam PRU (pilihan raya), sorakan-sorakan itu tidak memberi makna kerana apa yang penting adalah pengundi.

“Malah, apabila saya bertemu dengan calon-calon dan wakil-wakil calon sebelah sana, mereka peluk saya, ada yang bercakap perkara-perkara yang telah saya lakukan untuk mereka.

“Mereka tahu jasa-jasa yang telah saya buat. Kalau pun mereka mengatakan saya pengkhianat, mereka tidak sedar apa yang saya lakukan adalah untuk rakyat, bukan untuk diri saya,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Larut di bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Selama, Selama di sini hari ini.

Terdahulu, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri disambut dengan laungan katak oleh sebahagian penyokong sejurus selepas keluar dari bangunan tersebut.

Hamzah bagaimanapun tenang dan secara bersahaja melambaikan tangan kepada penyokong yang berada berhampiran tempat pengumuman calon oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan dilakukan parti lawan itu hanya menunjukkan keangkuhan dan kesombongan mereka setelah memperoleh kuasa dalam kerajaan.

“Mereka boleh berdiri hari ini dengan sombong dan angkuh adalah kerana kuasa yang diberikan. Cuba kita lihat apabila mereka kalah, senyap sunyi semua.

“Hari ini kita berikan kuasa bertambah sombong, bertambah angkuh. Rakyat melihat ini semua dan saya yakin mereka akan lari (beralih sokongan).

“Jika mahu alternatif (kerajaan lebih baik) tidak ada jalan lain hanyalah Perikatan Nasional (PN). Kita berjanji akan lakukan secara bersih demi kestabilan negara,” katanya.

Pada PRU15, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berhadapan pertandingan empat penjuru di mana beliau akan dicabar calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Syafiq Fhadly Mahmud; Zolkarnain Abidin (Pakatan Harapan) dan Auzaie Fadzlan Shahidi daripada Gerakan Tanah Air (GTA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya