PETALING JAYA: “Hadi (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang) memberikan semakin banyak sebab mengapa beliau tidak sesuai untuk menjadi Perdana Menteri (PM), tak kiralah berapa banyak kerusi sekali pun dimenangi Pas pada 19 November ini”.
Demikian pandangan veteran DAP, Lim Kit Siang bagi mengulas kritikan yang dilemparkan Abdul Hadi kepada DAP, iaitu mendakwa ahli parti tersebut dengan pelbagai perkara negatif.
Kit Siang berkata, seorang pemimpin perlulah daripada kalangan individu yang boleh menjadi teladan kepada rakyat dan tidak hanya melempar pelbagai tohmahan dan fitnah kepada pihak lawan.
“Seorang Perdana Menteri Malaysia perlulah seorang berpegang kepada janjinya dan boleh menjadi teladan dan integriti serta kejujuran. Dia tidak boleh menyebarkan penipuan dan fitnah sewenang-wenangnya.
“Hadi menuduh DAP sebagai anti-Melayu, Islam, dan Raja. Adakah dia mempunyai apa-apa bukti dan mengapa dia masih tidak menunjukkan sebarang bukti? Baru-baru ini dia sering membuat serangan terhadap DAP, malah menuduh para pemimpin DAP sebagai komunis serta tidak percaya tuhan,” katanya melalui satu kenyataan.
Kit Siang mempersoalkan tindakan Abdul Hadi, sedangkan beliau adalah seorang pemimpin Islam yang sepatutnya tidak menyebarkan fitnah dan penipuan, malah bekerjasama dengan mereka yang terlibat dengan rasuah.
“Adakah Islam mengajar pemimpinnya begitu? Saya rasa tidak, seperti semua agama yang hebat, Islam menegakkan kebenaran, kebebasan dan keadilan. Hadi menghina kebijaksanaan serta moral pemimpin dan calon Melayu DAP dengan menuduh yang mereka dipergunakan oleh orang Cina.
“Untuk makluman Hadi, dalam DAP, kita semua adalah rakyat Malaysia walaupun pada masa sama kita berbeza kaum dan agama tetapi tidak ada sesiapa yang mempergunakan sesiapa yang lain untuk kepentingan sendiri,” katanya
Kit Siang turut membidas Abdul Hadi kerana tidak faham makna sebenar ‘sekular’.
“Hadi tidak memahami maksud ‘sekular’ kerana perkataan ini tidak bermakna anti-agama atau tidak bertuhan, tetapi seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, Islam adalah agama rasmi persekutuan tetapi agama-agama lain dapat diamalkan dengan bebas serta aman.
“Amat malang apabila Hadi cuba untuk mentafsir ‘sekular’ sebagai ‘menolak tuhan’ atau ‘anti-agama’ sedangkan perkara ini tidak pernah dimaksudkan sebegini di Malaysia kerana perkataan ini melambangkan kebebasan beragama di Malaysia,” jelasnya.- UTUSAN