SHAH ALAM: Gabungan Wawasan Generasi Felda ( GWGF) yang mewakili 15 persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan ( NGO) sebulat suara berikrar menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU-15), 19 November ini.
Presidennya, Tan Sri Rozali Ismail berkata, mereka yang terdiri daripada lebih 135,000 ahli berdaftar dari 317 rancangan Felda melibatkan 11 wilayah membuat keputusan itu setelah mengambil kira faktor kesatuan ummah dan terlalu banyak parti diketuai oleh orang Melayu.
Katanya, walaupun terdapat cadangan supaya kepemimpinan tertinggi GWGF bertanding pada PRU-15, namun setelah mengambil kira pelbagai faktor kesan jangka panjang terhadap negara, mereka membuat keputusan tidak berbuat demikian.
“Pada masa sama, GWGF tidak mewujudkan parti baharu bagi mewakili masyarakat peneroka sepertimana diumumkan pada 17 Julai lepas.
“Keinsafan saya dan Ahli Majlis Tertinggi GWGF jika wujud parti yang dicadangkan bagi mewakili warga Felda menambah parah perpecahan orang Melayu berikutan banyak parti baharu ditubuhkan yang memfokuskan sokongan orang Melayu,” katanya selepas mengadakan mesyuarat khas Ahli Majlis Tertinggi GWGF di Wisma Rozali, di sini hari ini.
Rozali berkata, sokongan tidak berbelah bahagi terhadap BN dan UMNO mengambil kira faktor dan rekod parti itu di samping pencapaian yang dilaksanakan sejak pasca merdeka. – UTUSAN