GTA bukan anti Cina

GTA bukan anti Cina

DR. Mahathir Mohamad (kanan) pada sesi dialog bersama masyarakat Cina di sebuah kafe di Pekan Cina, Alor Setar. -UTUSAN/MOHD RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tindakan menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang terdiri daripada 100 peratus orang Melayu bukan berniat untuk membentuk satu gabungan yang anti kepada kaum Cina. 

Sebaliknya tegas Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pembentukan Pejuang dan gabungan itu adalah melawan UMNO iaitu sebuah parti yang disifatkan sebagai jahat kerana menyeleweng selain terlibat dalam korupsi serta kleptokrasi. 

Katanya, GTA memberi penerangan berkenaan perkara itu kepada orang bukan Melayu dan mendapat maklum balas baik sehingga mereka menyatakan kesediaan untuk memberi undi kepada calon-calon GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

“Kalau kita tak buat parti Melayu, kita tak boleh lawan dengan UMNO. Tetapi kita beritahu kepada orang Cina sebab mengapa tak ambil mereka dalam parti ini. 

“Sebabnya kita takut orang Melayu di kampung-kampung ini, mereka tak mahu sokong parti Cina. Jadi kalau orang Melayu ini tak sokong GTA, maka mereka akan sokong UMNO sedangkan UMNO parti yang tidak baik. 

“Sebab itu kita wujudkan parti Melayu tetapi kita jumpa kawan-kawan Cina dan terangkan perkara ini. Jelas, kita bukan anti Cina tetapi anti Melayu yang jahat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan sesi dialog bersama masyarakat Cina di sebuah kafe di Pekan Cina, di sini, hari ini. 

Menjawab soalan hadirin yang bertanyakan sama ada beliau akan menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga sekiranya memenangi PRU1, Dr. Mahathir yang bertanding di Parlimen Langkawi berkata, pihaknya memiliki sebab untuk tidak menamakan calon Perdana Menteri sebelum pilihan raya berlangsung. 

“Kalau kita namakan calon Perdana Menteri sekarang dan kalah dalam PRU, itu tidak akan membawa apa-apa makna. Kalau kami menang nanti, kami akan tanya semua orang mengenai calon yang mereka inginkan untuk menjadi Perdana Menteri. 

“Kalau mereka betul-betul mahukan saya jadi Perdana Menteri, saya perlu penuhi kehendak mereka tetapi kalau boleh, saya mahu orang lain yang menjadi Perdana Menteri,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya