GOPENG: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gopeng, Cally Ting Zhao Song merayu pengundi di sini memberikan beliau mandat pada hari mengundi Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) esok bagi membolehkan rancangan memajukan kawasan berkenaan dilaksanakan.
Cally berkata, selama 15 tahun Gopeng ketinggalan dalam aspek pembangunan khususnya dalam pendidikan, perkhidmatan dan kesihatan berbanding dengan kawasan-kawasan lain.
Cally, 32, yang juga Naib Ketua MCA Bahagian Gopeng berkata, selama tempoh itu parti lawan tidak membawa pembangunan di situ, sebaliknya hanya melaung-laungkan usaha menjadikan
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Berilah kepercayaan kepada Cally dan juga pasukan saya, pasukan BN Gopeng. Saya betul-betul ikhlas hendak membantu Gopeng, jadi kami berharap anda boleh membantu kami semua dengan undi anda.
“Dengan ikhlas saya menyeru kali ini orang Gopeng pada PRU15 kena pentingkan diri sendiri. Kita kena memilih wakil rakyat yang boleh menjaga kawasan ini, bukannya bercakap mengenai hal-hal antarabangsa, Putrajaya dan sebagainya kerana ini menyebabkan Gopeng ketinggalan.
“Pengundi di sini perlu sedar perkara ini sangat serius. Kalau kita tidak tangani masalah ini (pembangunan Gopeng), tidak berani untuk melakukan satu perubahan maka apa yang akan berlaku selepas masa lima hingga 10 tahun lagi, tempat ini akan semakin menua.
“Orang muda akan pergi jauh ke Singapura untuk mencari kerja yang lebih baik. Maka keputusan pada 19 November bukan untuk diri sendiri sahaja tapi demi generasi seterusnya,” katanya dalam temu bual bersama Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Cally, jika diberikan mandat sebagai ahli parlimen, beliau dan BN mempunyai visi yang cukup luas yang hanya akan tercapai selepas lima hingga 10 tahun, namun sekurang-kurangnya BN mempunyai satu hala tuju yang sangat jelas.
Katanya, beliau berharap visi itu dapat dicapai bersama-sama penduduk Gopeng.
“Apa yang kami boleh tawarkan sekiranya BN mengambil alih? Banyak aspek kita boleh tumpukan tetapi fokus utama pada tahun pertama kami ialah kepada penambahbaikkan insfrastruktur dan fasiliti awam. Selepas itu baru kita bercakap mengenai hendak tarik pelaburan asing dan sediakan peluang pekerjaan yang berkualiti.
“Benda yang melibatkan kepentingan semua orang, benda yang melibatkan keselesaan kehidupan harian orang ramai, itu adalah fokus utama kita setelah kita mengambil alih dan seterusnya selepas infrastruktur sudah ditambahbaik, kita akan beralih ke proses seterusnya iaitu untuk menarik kemasukan pelabur asing. Masa itulah kita boleh cakap nak tambah peluang pekerjaan dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, dari segi infrastruktur, Parlimen Gopeng juga agak ketinggalan dan antara faktor utamanya adalah disebabkan oleh pihak lawan bersikap sambil lewa dalam hal berkaitan dengan kebajikan rakyat.
“Mereka mengambil sikap sambil lewa mungkin kerana mereka menang dengan majoriti yang sangat-sangat selesa, jadi mereka tidak memberi tumpuan yang besar terhadap perkara-perkara seperti itu,” katanya.
PEJABAT KHIDMAT RAKYAT
Menurutnya, selama ini walaupun bukan bergelar wakil rakyat di Gopeng, tetapi sebagai seorang ahli politik yang asasnya adalah untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat jelata seperti menerima dan memanjangkan aduan dan sebagainya, beliau mempunyai pejabat yang beroperasi sebagai pusat khidmat untuk rakyat di Gopeng.
Beliau berkata, penduduk sekitar sudah tahu dan sangat kenal terhadap pusat khidmat itu kerana sudah lama diwujudkan.
“Kami juga ada pejabat di kawasan DUN Teja. Sebenarnya saya cuba untuk mewujudkan satu pejabat di setiap kawasan DUN agar khidmat yang diberikan kepada rakyat lebih komprehensif.
“Pada tahun 2020, saya buka pejabat di Seri Botani untuk orang di sekitar Simpang Pulai. Dua bulan lepas, saya buka satu lagi pejabat pusat khidmat di DUN Sungai Rapat,” katanya.
Cally memberitahu, beliau telah mula memberikan khidmat kepada masyarakat di sini sejak empat tahun lalu yang didorong dengan iltizam untuk memahami seluruh pelosok dalam Parlimen ini.
Katanya, menerusi pejabat itu, beliau dapat mendengar luahan hati rakyat dan masalah yang mereka dihadapi.
“Sejak ditubuhkan, jumlah ahli pasukan saya sudah bertambah, ada orang yang sudi berjuang di sisi saya. Pasukan saya sanggup berjuang bersama-sama saya bukan disebabkan kewangan, tapi sebab mereka mempunyai visi yang sama dengan saya.
“Mereka nak lihat bagaimana Gopeng maju dan membangun. Apa yang kita buat pada hari ini bukan demi kami di sini sahaja tetapi demi generasi yang seterusnya,” katanya.
PENGUNDI CINA
MAKIN MESRA BN
Mengenai kempen PRU15 yang hampir berakhir, Cally mengakui teruja dengan sikap lebih mesra yang ditunjukkan pengundi Cina terhadapnya sebagai calon BN, satu perubahan yang agak ketara berbanding ketika kempen BN pada PRU14.
Menurutnya, pengundi Cina kini bersikap lebih peramah berbanding PRU14, golongan itu tidak begitu mesra.
“Tapi kali ini mereka sudah sudi berjabat tangan dengan kami, apabila menerima flyers daripada kami mereka tengok, keseluruhannya respons mereka sangat positif.
“Tambah menggembirakan penduduk dan pengundi di sini sebahagian besar mengenali saya. Semasa berkempen, kami pergi merata tempat dan kami berjumpa orang Cina mereka kata kenal saya.
“Mereka memberikan kata-kata dorongan supaya kami kuatkan kerja lagi. Mereka kata kuatkan kerja lagi, kempen di banyak tempat jumpa dengan semua orang. Berjumpa pengundi sangat penting sebab itulah final impressions yang kita boleh tinggalkan kepada mereka sebelum mereka mengundi,” katanya.
PENGUNDI INDIA
MAHU PERUBAHAN
Sementara itu, mengenai pengundi India, Cally berkata, kumpulan itu memperlihatkan perubahan sokongan kepada BN yang agak ketara, disebabkan banyak janji yang telah dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) terhadap komuniti itu tidak ditunaikan.
“Komuniti India sangat mengutamakan sikap jujur, sekiranya anda buat janji kmaka ena kotakan janji. Saya rasa perubahan sangat-sangat ketara bagi komuniti India,” katanya.
Cally berdepan saingan daripada tiga calon lawan iaitu Tan Kar Hing (PH), Muhamad Farhan Abdul Rahim (PN) dan G. Balachandran (Warisan) di Parlimen Gopeng.
Selain Cally di Parlimen Gopeng, BN meletakan tiga calon bertanding di kerusi DUN iaitu Datuk Hang Tuah Din (Sungai Rapat), Lee Wai Yin (Simpang Pulai) dan Liew Yee Lin (Teja). – UTUSAN