Giant Killer bakal buat kejutan

Giant Killer bakal buat kejutan

Antara giant killer yang bakal buat kejutan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada jaminan nama besar yang menjadi taruhan parti-parti utama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan meraih kemenangan mudah kerana sejarah menunjukkan mereka juga boleh dikalahkan.

Pada PRU 1999, Lim Kit Siang tewas mengejut kepada calon Gerakan, Chia Kwang Chye di Parlimen Bukit Bendera dengan majoriti tipis 104 undi.

Kekalahan itu menyebabkan Kit Siang melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Agung DAP manakala Datuk Fadzil Mohd. Noor menggantikan beliau sebagai Ketua Pembangkang.

Nasib yang sama berlaku kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang apabila beliau yang memegang kerusi Marang selama tiga penggal berturut-turut, kalah mengejut dalam PRU 2004 kepada calon Barisan Nasional (BN), Abdul Rahman Bakar dengan majoriti tipis 163 undi.

Abdul Hadi bagaimanapun tidak melepaskan jawatannya sebagai Presiden Pas, jawatan yang dipegangnya sehingga ke hari ini, namun kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang digantikan Kit Siang.

Ini menunjukkan tidak mustahil nama-nama besar tewas dan ditumbangkan oleh calon yang kurang dikenali, terutama dalam pilihan raya umum.

SHAMSUL ISKANDAR (BAGAN DATUK)

Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin dijangka memberi tentangan sengit kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk.

Beliau pernah mencipta kejutan sebelum ini apabila menewaskan Tun Ali Rustam selaku Ketua Menteri Melaka di kerusi Parlimen Bukit Katil pada PRU13 dengan majoriti 5,733 undi.

Shamsul sekali lagi membuktikan beliau tidak hanya ‘menang nasib’ apabila menewaskan Ali buat kali kedua, kali ini di Parlimen Hang Tuah Jaya pada PRU14 dengan majoriti 8,640 undi.

Kemenangan itu memberi keyakinan kepada Shamsul untuk membuat kejutan kali ketiga, kali ini terhadap Zahid yang meraih majoriti 5,073 undi dalam PRU lalu.

Zahid tidak pernah kalah dalam enam pilihan raya umum yang ditandinginya sejak 1995.

Zahid berdepan saingan empat penjuru iaitu Shamsul Iskandar (PH), Dr. Faiz Na’aman (PN) dan Mohamed Tawfik Tun Dr. Ismail (Bebas).

AHMAD FAIZAL AZUMU (TAMBUN)

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga dianggap sebagai giant killer apabila beliau menewaskan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di Tambun pada PRU14 lalu dengan majoriti 5,320 undi.

Kemenangan itu membuka laluan kepada beliau untuk memegang jawatan-jawatan penting seperti Menteri Besar Perak dan Menteri Belia dan Sukan.

Ini memberikan keyakinan kepada calon Perikatan Nasional (PN) itu untuk berdepan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, ia bukanlah tugas mudah buat Ahmad Faizal kerana Anwar tidak pernah tewas dalam tujuh pilihan raya yang ditandinginya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 2018.

Calon BN, Aminuddin Mohd. Hanapiah juga berpotensi menjadi pencabar utama kepada Anwar di Tambun.

Beliau meraih undi kedua terbanyak ketika bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta pada PRU14, namun tewas kepada calon PH, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dengan majoriti 3,713.

Anwar berdepan saingan empat penjuru iaitu Ahmad Faizal (PN), Aminuddin (BN) dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).

PENCABAR TUN MAHATHIR (LANGKAWI)

Datuk Armishah Siraj dilihat sebagai pencabar terkuat kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad di Parlimen Langkawi kali ini.

Beliau merupakan bekas Setiausaha Sulit kepada tiga Menteri Besar Kedah iaitu Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanifah dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

BN meraih undi kedua terbanyak dalam PRU14 lalu, dengan Mahathir meraih majoriti 8,893 undi, memberi peluang kepada Armishah untuk menarik lebih ramai undi kali ini.

Mahathir berdepan saingan lima penjuru iaitu Armishah (BN), Mohd. Suhaimi Abdullah (PN), Zabidi Yahya (PH) dan Datuk Abd. Kadir Sainudin.

PENCABAR MUHYIDDIN, ABDUL HADI

Datuk Seri Razali Ibrahim dilihat sebagai pencabar terkuat kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen Pagoh yang meraih majoriti 6,927 undi sebelum ini.

Walaupun tewas kepada giant killer, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar dalam PRU14 lalu, Razali berpeluang untuk menebus kekalahan itu dengan meraih semula sokongan pengundi Melayu yang sebelum ini memihak BN di kawasan tersebut.

Malah, saingan di Pagoh dijangka sengit apabila Muhyiddin berdepan hanya saingan tiga penjuru iaitu Razali (BN) dan Iskandar Shah Abdul Rahman (PH).

Di Parlimen Marang, Abdul Hadi selaku Presiden Pas berdepan empat penjuru iaitu Jasmira Othman (BN), Azhar Abdul Shukur (PH) dan Zarawi Sulong (Pejuang).

Zarawi satu-satunya calon yang pernah berdepan Abdul Hadi apabila meraih 5,138 dalam PRU14 lalu, namun calon-calon lain bertanding buat kali pertama.

Namun, Jasmira dilihat mempunyai peluang paling cerah memandangkan BN meraih undi kedua terbanyak dengan 31,795 undi pada PRU14 lalu.

PENCABAR WEE KA SIONG, VIGNESWARAN

Sheikh Umar Bagharib Ali dilihat sebagai pencabar terkuat kepada Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong di Parlimen Ayer Hitam.

Malah, Presiden MCA itu hampir tewas dengan calon PH, Liew Chin Tong dalam PRU14 apabila meraih majoriti tipis 303 undi.

Kehadiran Sheikh Umar juga dijangka mampu menarik pengundi Melayu dan bukan Melayu di kawasan itu, berbanding seorang lagi calon iaitu Syafiq Aziz yang mewakili PN.

Tan Sri S.A. Vigneswaran pula berdepan saingan tujuh penjuru di Sungai Siput, termasuk penyandang kerusi S. Kesavan yang meraih majoriti 5,607 undi dalam PRU14 lalu.

Ini kali pertama Presiden MIC itu kembali bertanding dalam PRU selepas kali terakhir bertanding pada 2008 di Parlimen Kota Raja namun tewas kepada calon Pas ketika itu, Siti Mariah Mahmud dengan majoriti 20,751 undi.

Vigneswaran akan turut berdepan Datuk Seri G. Irudianathan (PN), Ahmad Fauzi Mohd. Jaafar (Pejuang) dan tiga calon Bebas iaitu R. Indrani, Baharudin Kamarudin dan N. Rajah.

PENCABAR MAT SABU, ANTHONY LOKE, SHAFIE APDAL

Calon PN, Mohamed Diah Baharun dilihat sebagai pencabar yang mampu menyaingi Presiden Amanah, Mohamad Sabu di Kota Raja.

Beliau meraih undi kedua terbanyak pada PRU14 lalu dengan 19,555 undi, namun masih jauh ketinggalan dengan Mohamad yang meraih 90,697 undi.

Mohamad Sabu berdepan saingan lapan penjuru iaitu Mohamed Diah (PN), D. Kajendran (BN), Fahmi Bazlan Muda (Pejuang), Che Sara Afiqah Zainul Arif (PRM) dan tiga calon Bebas iaitu K. Kumar, P. Raveentharan dan S. Surendhar.

Di Seremban, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berdepan dua pencabar terkuat iaitu Felicia Wong Yin Ting (BN) dan Mohd. Fadli Che Me (PN).

Pada PRU14, BN meraih undi kedua terbanyak diikuti Pas, sekali gus memberi peluang kepada calon BN dan PN mencabar Anthony Loke yang berdepan saingan lima penjuru, termasuk Mohamad Jani Ismail (Pejuang) dan Izzat Lesly (Bebas).

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berdepan saingan empat penjuru di Parlimen Semporna, dengan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Nixon Abdul Habi dilihat sebagai pencabar terkuat di kawasan tersebut.

Dalam PRU14, BN meraih undi kedua terbanyak di Semporna, namun masih jauh ketinggalan dengan majoriti 20,674 undi yang diraih Shafie.

Shafie turut dicabar dua lagi calon iaitu Arastam Pandorog (PH) dan Ab. Rajik Ab. Hamid (Pejuang) dalam PRU kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya