GUA MUSANG: Penduduk yang sedang memancing dikejutkan dengan kehadiran seekor gajah betina yang sedang minum air dan mandi di Sungai Ketil, berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang di sini, petang semalam.
Kehadiran hidupan luar itu disedari pada pukul 6 petang oleh dua penduduk Fahamie Qhodrad Sibaweh, 30, dan Wan Mohd. Haikal Wan Mohd. Zulkifli, 18, sedang memancing ikan.
Fahamie Qhodrad berkata, dia terkejut dengan kemunculan haiwan itu dia sempat merakam gelagat hidupan liar itu yang sedang mandi dan minum air di sungai berkenaan.
“Sungai ini terletak berhampiran rumah penduduk di tengah bandar Gua Musang dan sering menjadi kawasan rekreasi untuk mandi.
“Hampir satu jam gajah betina terbabit berada di sungai itu dan kira-kira 50 penduduk PPR Gua Musang yang berada di kawasan berhampiran juga sempat melihatnya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Wan Mohd. Haikal memberitahu, gajah liar itu berada kira-kira 50 meter dari tempat mereka memancing.
Katanya, ini merupakan kali pertama gajah ditemui di sekitar Sungai Ketil berhampiran PPR Gua Musang.
“Kami terkejut gajah itu tiba-tiba muncul tanpa sebarang bunyi. Kami bimbang jika haiwan liar itu berkeliaran di kawasan penempatan.
“Tidak lama kemudian, gajah itu ingin menuju ke hutan berhampiran landasan kereta api, namun berpatah balik ke sungai berhampiran apabila melihat ramai orang di atas jambatan PPR,” katanya.
Semalam, tular video di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp apabila seorang pemancing merakam kelibat seekor gajah betina di sungai berhampiran PPR Gua Musang yang dipercayai sedang mandi dan minum air sungai itu.
Hidupan liar itu kemudian menghilangkan diri ke kawasan hutan berhampiran.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Mohamad Hafid Rohani, mengesahkan menerima laporan kejadian yang tular itu.-UTUSAN